Isnin, 24 Januari 2011

Pindaan perlembagaan perkukuh kuasa Sultan

Tujuan pindaan supaya tidak ada individu yang berani melanggar kuasa negeri atau Sultan


SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dalam ucapan pembentangan pindaan perlembagaan negeri di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor hari ini menjelaskan bahawa pindaan perlembagaan dibuat untuk memperkukuhkan kuasa Sultan.

Beliau berkata, “pindaan yang dicadangkan adalah sebagai perubahan supaya generasi akan datang tidak lagi dalam kekaburan dan tidak ada lagi individu atau puak tertentu yang berani melanggar kuasa negeri atau Sultan.”

“Atas prinsip yang sama Pakatan Rakyat komited untuk mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar beliau yang diberikan kepada petugas media di sidang Dun di sini pagi tadi.

Selain itu, pindaan yang dibentangkan pada hari ini bertujuan untuk mengembalikan peranan Sultan sebagai agen semak dan imbang sepertimana yang difahami dalam konsep raja berperlembagaan.

Pakatan Rakyat, tegas beliau mahukan peruntukan perlembagaan sebagai mana yang termaktub sebelum pindaan perlembagaan dibuat pada tahun 1993.

Khalid turut menyoroti bagaimana kuasa raja dikurangkan melalui pindaan perlembagaan pada tahun 1983 dan 1993.

Isu pindaan perlembagaan menjadi isu hangat ekoran pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai Ketua Setiausaha Negeri (SUK) yang dikatakan membelakangkan pilihan Khalid pada awal bulan ini.

Dato’ Ramli turut dipersalahkan

Mantan SUK Dato’ Ramli Mahmud turut dipersalahkan kerana memberikan senarai yang berlainan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Seri Mohamad Sidek Hassan.

Senarai yang diberikan oleh Ramli dikatakan meletakkan Khusrin sebagai calon yang paling layak. Namun Ramli menafikan tuduhan tersebut.

Senarai yang disenarai pendek oleh Khalid pula meletakkan Khusrin sebagai calon keenam paling layak dari sejumlah enam calon.

Ekoran itu, pentadbiran Khalid pada mulanya mengancam untuk memboikot upacara angkat sumpah Khusrin di hadapan Sultan Selangor yang berlangsung 6 Januari lalu, namun bertindak menghadirinya secara protes.

Khusrin telah mengangkat sumpah kesetiaan kepada Sultan Selangor tetapi belum mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan menteri besar sehingga hari ini.

Khalid sebelum ini mendakwa bahawa beliau telah berbicara dengan Sultan Selangor yang dikatakan memberitahu beliau, “Patik tiada kuasa.”

Pindaan perlembagaan yang dibentang hari ini adalah unik kerana kerajaan negeri itu tidak mempunyai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman sebelum ini dilaporkan berkata bahawa beliau akan mengetuai Adun Barisan Nasional untuk memboikot sidang dewan hari ini.

Tiada ulasan: