Rabu, 19 Januari 2011

Pakatan: BN wajar hadir sidang khas DUN bukti pendirian

TERKINI


Lau berkata Adun BN patut hadir untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada Sultan Selangor. — gambar fail

SHAH ALAM — Pakatan Rakyat (PR) hari ini menggesa kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno-Barisan Nasional (BN) supaya hadir pada sidang khas Dewan Undangan Negeri Selangor 24 Januari ini bagi membuktikan pendirian mereka.

Sidang DUN khas ini diadakan untuk meminda Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 bagi mengembalikan kuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.

Umno-BN dijangka akan memutuskan pendirian mereka esok.

Adun Kampung Tunku Lau Weng San berkata, kesemua wakil rakyat perlu hadir dan memberikan sokongan ke atas usul pindaan undang-undang tubuh itu.

Beliau juga berkata sekiranya benar wakil rakyat Umno-BN menghormati Sultan Selangor, maka mereka perlu hadir bagi membuktikan kesetiaan mereka.

“Saya seru kepada Adun BN supaya hadir dan buktikan, saya seru mereka sokong pindaan ini yang akan mengembalikan kuasa lantikan tiga pegawai eksekutif kepada kerajaan negeri dan Sultan Selangor.

“Pindaan ini lebih menjurus kepada bentuk asal undang-undang tubuh (sebelum dipinda pada 1993), saya seru mereka hadir dan sokong,” kata Lau pada sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

Lau yang juga Setiausaha Pengelola DAP Selangor berkata, sekiranya Adun Umno-BN enggan menghadiri sidang khas DUN bermakna mereka tidak mahu mengembalikan kuasa Sultan Selangor.


“Tanpa kehadiran mereka, kita tidak boleh dapat majoriti, kalau mereka tak hadir mereka tidak mahu kembalikan kuasa kepada Sultan (Selangor).

“Kalau tidak sanggup (hadir) jangan kata Pakatan Rakyat derhaka kerana mereka yang derhaka.

“Umno-BN perlu ikhlas, jangan cakap serupa bikin, berikan kuasa lantikan ini kepada Sultan Selangor,” katanya.

Beliau menambah pemimpin Umno-BN jangan bersuara sekiranya enggan memberikan sokongan kepada usul pindaan tersebut.

“Kalau datang tapi tak sokong lebih baik tutup mulut.

“Saya seru mereka datang dan sokong (pindaan),” katanya.

Selangor berhadapan dengan krisis perlembagaan ekoran pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Datuk Mohd Khusrin Munawi, yang didakwa dibuat tanpa pengetahuan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid mahu kuasa melantik tiga jawatan eksekutif tertinggi dalam pentadbiran negeri dikembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar.

Sementera itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata Umno-BN perlu buktikan bahawa mereka taat kepada Sultan Selangor dengan menyokong usul pindaan undang-undang itu.

“Kita dah buktikan tidak memusuhi Sultan Selangor, kalau cakap DAP dan Pakatan Rakyat memusuhi adalah tidak betul.

“Kita tidak ambil kesempatan seperti mana yang dilakukan Umn-BN dengan memusatkan undang-undang kepada kerajaan pusat.

“Kita tidak, kita hanya mahu kuasa itu dikembalikan seperti dulu,” katanya.

Laporan semalam menyebut, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberikan perkenan baginda untuk persidangan khas Dewan Undangan Negeri Selangor.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan baginda telah menandatangani perisytiharan pada 14 Januari lepas untuk persidangan itu diadakan selepas mendapat permohonan daripada pihak DUN.

Tiada ulasan: