Ahad, 16 Januari 2011

MPSJ serbu pusat hiburan haram

SINAR HARIAN ONLINE

PUCHONG – Keghairahan pengunjung sebuah pusat hiburan di Pusat Bandar Puchong dekat sini dilayan gadis montok dan gebu daripada Filipina serta Indonesia malam kelmarin tidak bertahan lama apabila premis berkenaan diserbu pihak berkuasa.

Difahamkan, wanita warga asing berusia lingkungan 20-an dan bekerja sebagai pelayan di situ turut dijadikan stok ‘raba’ pengunjung hidung belang selain dijadikan pasangan berpelukan untuk melepaskan nafsu masing-masing.

Sinar Harian dimaklumkan, pengusaha bertindak bijak menyembunyikan kegiatan dengan memilih premis yang terletak agak jauh dari kawasan penempatan penduduk dan tersorok daripada penglihatan orang ramai.

Bagaimanapun, aktiviti tidak bermoral yang dilakukan di situ dapat dihidu apabila pihak berkuasa mendapat aduan pengusaha premis menjalankan aktiviti tanpa lesen sah.

Pengarah Jabatan Penguat-kuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, bertindak atas maklumat, operasi diketuai pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu sebuah premis di Jalan Bandar 14, Pusat Bandar Puchong.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati pengusaha menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen yang sah daripada pihak MPSJ.

“Ketika serbuan, tiga pekerja wanita warga asing berpakaian ketat dan sendat sibuk melayan pengunjung di premis hiburan terbabit tanpa segan silu.

“Pemeriksaan dibuat terhadap ketiga-tiganya mendapati mereka tidak memiliki permit perjalanan yang sah,” katanya wanita warga asing terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Zulkurnain berkata, tindakan terhadap pengusaha dikenakan di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995(Pindaan 2001)

“Ia berikutan pengusaha menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen daripada pegawai melesen MPSJ dan boleh dikenakan tindakan denda maksimum sebanyak RM 25,000.

“Operasi disertai 23 anggota penguatkusa MPSJ diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa (Kanan) Mazrul Zahar Mohd, manakala tujuh anggota KDN diketuai Fazi Amar dan tiga lagi dibantu anggota polis,” katanya.

Tiada ulasan: