Ahad, 16 Januari 2011

Isu SUK Selangor: Bagaimana Nak Cabar, Lantikan Ikut Undang-Undang



Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersalam dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Datuk Mohamed Khusrin Munawi (kanan) pada Majlis Angkat Sumpah di Istana Kayangan pada 6 Januari lalu.

PELANTIKAN Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) menimbulkan kontroversi kerana beliau tidak diterima oleh Menteri Besar dan barisan Exconya.

Umum mengetahui hubungan Mohammed Khusrin dengan Kerajaan Negeri Selangor sememangnya keruh disebabkan beberapa insiden yang berlaku semasa beliau menerajui JAIS.

Malah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas upacara mengangkat sumpah taat setia Mohammed Khusrin di hadapan Sultan Selangor, beliau tetap mencari helah untuk terus menafikan pelantikan walaupun baginda sendiri menitahkan supaya kemelut itu ditamatkan segera demi kemakmuran Selangor.

Ikuti temu bual wartawan Mingguan mStar, SALWA SHA’ARI bersama pengamal undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin mengenai krisis pelantikan ini.

Mingguan mStar: Adakah wajar Kerajaan Negeri mempertikaikan pelantikan Mohammed Khusrin?

Datuk Salehuddin Saidin

Datuk Salehuddin Saidin: Saya percaya lantikan tersebut adalah mengikut Fasal 1, Perkara 52, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 yang mengatakan lantikan tiga jawatan tertinggi, iaitu Setiausaha Negeri, Penasihat Undang-Undang dan Pegawai Kewangan perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan bukan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

Adakah proses melantik SUK sama untuk setiap negeri?

Setiap negeri mempunyai Perlembagaan yang berbeza-beza, seperti di Johor, lantikan dibuat oleh Sultan atas nasihat Menteri Besar dan di Kelantan, jawatan SUK adalah jawatan di bawah SPN.

Adakah SPA wajib untuk mencalonkan nama-nama kepada Sultan sebelum lantikan dibuat?

SPA tidak perlu mencalonkan nama dan boleh terus melantik SUK, tetapi dalam kes ini, mereka telah mencalonkan tiga nama dan ruang lingkup Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ialah memilih satu nama dan lantikan dibuat oleh SPA.

Adakah perlu SPA mendapatkan persetujuan daripada Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim?

Undang-undang tidak menyatakan lantikan perlu mendapat kebenaran Menteri Besar atau mesti mendapat perkenan Sultan. SPA tidak dihalang untuk tidak mendapatkan kebenaran.

Mengapa SPA meminta perkenan Sultan dan tidak Menteri Besar?

Saya melihat alasannya adalah kerana adat dan sebagai tanda budi bahasa serta kedudukan Sultan sebagai Ketua Eksekutif Selangor.

Bagaimana dengan tindakan Kerajaan Negeri mahu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi meminda Undang-Undang Tubuh Selangor bagi mengembalikan kuasa kepada Sultan dan Menteri Besar?

Itu merupakan satu aspek yang lain untuk meminda supaya lantikan di masa depan tidak dibuat melalui SPA.

Tetapi, perkara yang dipinda adalah untuk perkara masa hadapan.

Sekarang lantikan telah dibuat mengikut undang-undang. Memang tiada halangan untuk Kerajaan Negeri memanggil sidang DUN dan mereka perlu mendapat majoriti dua pertiga.

Sekiranya Kerajaan Negeri dapat mencapai dua pertiga, adakah pindaan akan berkuat kuasa serta-merta?

Jika dapat dipinda, kesan kebelakang tidak boleh dilakukan kerana lantikan telah dibuat mengikut secara sah.

Saya tidak merasakan ia sesuai jika dibuat secara kebelakang kerana bukan dalam keadaan jawatan itu kosong.

Adakah Kerajaan Negeri boleh mencabar pelantikan tersebut di mana-mana mahkamah?

Bagaimana hendak dicabar apabila lantikan dibuat mengikut undang-undang?

Saya merasakan ia sukar untuk dicabar.

Apakah kesannya jika Kerajaan Negeri terus dengan pendirian tidak mengiktiraf lantikan tersebut?

Kegagalan untuk mengiktiraf lantikan mungkin mewujudkan hubungan yang agak tegang antara pihak istana dan Kerajaan Negeri kerana Istana telah memberi perkenan.

Ini akhirnya boleh menjejaskan rakyat secara keseluruhan.

Bolehkah SPA mengambil tindakan melantik SUK baru bagi menamatkan krisis ini?

Bergantung kepada budi bicara SPA kerana undang-undang tidak mengatakan ia tidak boleh ditukar.

Bagaimanapun, ia tidak bagus dari segi moral untuk Mohammed Khusrin, yang belum menjalankan tugasnya kerana seolah-olah menggambarkan beliau tidak layak untuk jawatan itu.

Menteri Besar juga ada menyatakan bahawa majlis angkat sumpah simpan rahsia akan diadakan selepas persidangan tergempar DUN.

Berapa lama majlis tersebut boleh dilengahkan?

Tidak dapat dipastikan selama mana ia boleh dibiarkan.

Bagaimanapun, jika dibiarkan berlanjutan ia akan menyukarkan perjalanan urusan pentadbiran negeri kerana SUK penting dalam melaksanakan polisi yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

Ada yang mengaitkan lantikan itu mempunyai agenda politik, Adakah lantikan tersebut ada maksud tersembunyi?

Tidak sama sekali. Lantikan Mohammed Khusrin dibuat oleh satu suruhanjaya perkhidmatan yang tidak mempunyai penglibatan mana-mana pihak, termasuklah Kerajaan Persekutuan.

Jadi, bagaimana pandangan sedemikian timbul?

Mungkin kita takut pada bayang-bayang. Kita belum cukup matang dalam berpolitik dan berfikiran sempit, terlalu syak-wasangka menyebabkan kita paranoid.

Adakah tugas SUK akan melibatkan atau berkaitan dengan politik?

Seorang pegawai kerajaan tidak dibenarkan sama sekali untuk berpolitik, khususnya kategori A.

Sebagai SUK, Mohammed Khusrin perlu menjalankan tugas melaksanakan polisi yang dipersetujui Kerajaan Negeri yang memerintah pada masa tersebut.

Tindakan yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini. Siapa perlu mengalah?

Pada saya, cubalah dulu. Setelah dicuba dan dirasakan beliau tidak menepati kehendak sebagai seorang SUK yang layak, Kerajaan Negeri boleh mencadangkan supaya beliau digantikan dengan individu lain.

Saya merasakan SPA tidak akan menolak sekiranya diberikan sebab yang munasabah.

Tiada ulasan: