Sabtu, 29 Januari 2011

Interlok: Perkasa mahu Putrajaya rujuk penulis novel

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kementerian Pelajaran disaran mendapatkan persetujuan penulis Interlok, Datuk Abdullah Hussain, terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang pindaan dalam kandungan novel itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata amat wajar kementerian mendapatkan “hitam putih” daripada Sasterawan Negara itu jika bercadang untuk memasukkan glosari, nota kaki ataupun menggugurkan ayat-ayat sensitif dalam novel yang dijadikan komponen sastera (Komsas) dalam subjek Bahasa Malaysia tingkatan lima itu.

“Perkasa yakin bagi penulis, maruah lebih penting daripada royalti yang diterima sebab beliau (Abdullah) ialah Sasterawan Negara.

“Setelah berbincang dengan anggota majlis tertinggi dan pakar rujuk Perkasa, kami merasa terkilan dan memprotes usaha (untuk menggugurkan bahagian tertentu dalam kandungan novel itu),” katanya.

Ibrahim berkata namun, Perkasa berpendapat sebuah jawatankuasa bebas wajar dibentuk untuk mengkaji dan mencadangkan untuk pembetulan fakta yang dikatakan salah dan (penggunaan) ayat-ayat sensitif.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata novel kontroversi itu akan terus digunakan sebagai teks komsas di Zon 2 iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Namun, selepas mengambil kira pandangan MIC hasil perjumpaannya dengan pemimpin MIC semalam, Kementerian Pelajaran bersetuju membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Untuk itu, Muhyiddin berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.

Panel berkenaan akan dianggotai oleh ahli akademik, sasterawan, dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta wakil masyarakat India.

Tiada ulasan: