Jumaat, 14 Januari 2011

Debat: Anwar tak ganjak, Pakatan beri lampu hijau

TERKINI

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim berpegang kepada cabaran mahu berdebat dengan Datuk Seri Najib Razak tetapi menegaskan beliau juga bersedia menerima syarat-syarat yang dikenakan perdana menteri.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (gambar) ini memberita pada sidang media petang tadi bahawa majlis kepimpinan perikatan juga bersetuju bahawa cabaran itu tidak harus ditarik balik meskipun Najib telah mengetepikannya dan menganggap ia tidak akan mendatangkan manfaat.

“Majlis kepimpinan Pakatan merasakan saya harus terus pergi... dengan beberapa syarat dikenakan oleh Najib untuk diadakan perbincangan terbuka,” kata beliau di sini.

Kata Anwar, ini kerana Pakatan tampil dengan hujah-hujah sendiri, yang disokong oleh pakar ekonominya, tetapi Najib menentang idea perikatan itu.

Najib mengatakan bahawa inisiatif-inisiatif Pakatan Rakyat tidak bertanggungjawab dan akan menyebabkan negara muflis.

Semalam, perdana menteri mengetepikan cabaran Anwar.

Hari ini, Anwar menjawab Najib dengan berkata jika presiden Umno itu prihatin dengan pandangan orang ramai, beliau harus menerima cabarannya.

“Jika anda mahu rakyat menghakimi, maka seorang yang bertanggungjawab, yang menguruskan ekonomi, dan Pakatan yang ada dasar alternatif, harus membincangkan dengan terbuka,” katanya lagi.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga mengetepikan cabaran Ketua Umno Khairy Jamaluddin agar berdebat dengannya.

“Beliau (Khairy) cuba untuk menyelamatkan perdana menteri tetapi cabaran ini adalah untuk perdana menteri,” katanya sambil menambah, ia adalah keputusan majlis kepimpinan Pakatan yang bermesyuarat hari ini.

Tiada ulasan: