Selasa, 4 Januari 2011

Bekas konstabel polis jual motosikal curi dipenjara tiga tahun

BERNAMA

KLANG – Seorang bekas anggota polis berpangkat konstabel dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah menjual sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang kepada seorang lelaki, 10 tahun lepas.

Majistret Afifah Mamat @ Yusof menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh, Zainuddin Rahmat, 32, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Afifah memerintahkan Zainuddin menjalani hukuman berkuatkuasa hari ini dan menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Zainuddin, bapa kepada enam orang anak, didakwa sengaja memindahkan iaitu menjual sebuah motosikal jenis Honda C100, nombor pendaftaran ACY 7326 bernilai RM2,500 kepunyaan Mohamad Man (ulang Mohamad Bin Man) dengan harga RM300 kepada Azlan Ariffin, 26, sedangkan tertuduh tahu ia adalah harta curi yang dilaporkan hilang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaki lima depan rumah No: 62, Jalan Raja Abdul Rahman, Taman Kapar, Kapar di sini, kira-kira pukul 8 malam pada Ogos 2001.

Kesalahan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sepanjang perbicaraan, seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim mewakili pihak pendakwaan.

Tiada ulasan: