Jumaat, 7 Januari 2011

1Malaysia: Kematian Didahulukan, Keadilan Tidak Diutamakan

Ooi Heng

Aku merasa sedih melihat Teoh Lee Lan menangis tersedan-sedan di sebelah ibu yang bertubuh kurus rentan. Jika sekiranya tidak dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke ibu pejabat SPRM, anakku tidak akan mati. Begitulah keluhan sedih ibu Teoh Beng Hock.

Aku teringat ayah Altantuya Shaariibuu (gambar kanan) yang pada mulanya bercadang menerbangkan diri ke Perancis menemui Perdana Menteri 1Malaysia terpaksa membatalkan hasrat untuk berbuat demikian kerana sakit pada bulan Oktober 2009. Beliau terpaksa memendamkan kesedihan seorang ayah terhadap kematian anak perempuan melibatkan bahan letupan C4.

Aku memikirkan kembali berita 27 orang terbunuh, kebanyakannya pelancong dari Thailand akibat kemalangan bas di Simpang Pulai, Perak lantas aku faham mengapa kedua-dua Menteri Melancong dan Perdana Menteri 1Malaysia menghabiskan kebanyakan masa dalam kapal terbang dan bukannya bas.

Aku telah beberapa kali mendengar teman-teman mengatakan betapa dahsyatnya bumi 1Malaysia setelah berlakunya kes kematian berkali-kali melibatkan bas atau kematian orang perseorangan seperti Sosilawati Lawiya, Kugan Ananthan dan Altantuya Shaariibuu.

Kematian yang tidak terjawab

Keranamu 1Malaysia. Kematian didahulukan. Keadilan tidak diutamakan. Mengapakah aku membuat dakwaan sedemikian? Telitilah kes-kes yang aku sebutkan dalam artikel ini.

Berita akhbar telah memaparkan dengan jelas pertanyaan-pertanyaan yang masih tidak terjawab serta ketidakpuasan keluarga Teoh Beng Hock dan khalayak umum terhadap keputusan mahkamah dalam kes ini.

EXCO Kerajaan Negeri Selangor Xavier Jeyakumar telah mengumumkan pewujudan dana sebanyak RM100,000 bagi mengkaji masalah kematian dalam tahanan termasuk kes melibatkan agensi kerajaan yang lain selepas keputusan inkues kematian Teoh Beng Hock yang cukup mengecewakan.

Selain kes kematian Teoh Beng Hock, pertubuhan bukan kerajaan Lawyers For Liberty (LFL) bersama SUARAM dan Parti Keadilan Rakyat juga mendedahkan statistik berikut yang menakjubkan pada 4 Disember 2010:

Daripada jumlah 279 orang yang mati ditembak polis semenjak tahun 2000, Melayu mencatatkan kadar kematian sebanyak 15% (42 orang) dan Cina sebanyak 18.6% (52 orang) sementara 21.8% (61 orang) adalah berketurunan India.

Pecahan mengikut tahun adalah seperti berikut:
2000: Melayu (4); Cina (2) India (0)
2001: Melayu (0); Cina (1) India (3)
2002: Melayu (6); Cina (12); India (6)
2003: Melayu (2); Cina (4); India (7)
2004: Melayu (2); Cina (7); India (1)
2005: Melayu (1); Cina (4); India (4)
2006: Melayu (2); Cina (0); India (3)
2007: Melayu (3); Cina (4); India (4)
2008: Melayu (7); Cina (9); India (11)
2009: Melayu (15); Cina (9); India (23)
Jumlah: Melayu (42); Cina (52); India (61)

Seterusnya marilah kita meneliti kes kematian Altantuya yang juga penuh dengan pertanyaan-pertanyaan yang tidak terjawab malahan jarang-jarang sekali dilaporkan oleh mana-mana akhbar perdana.

Selain kes kematian Teoh Beng Hock, kes kematian Altantuya merupakan satu lagi kes besar penuh misteri yang melibatkan bumi 1Malaysia secara langsung dengan pembunuhan ngeri seorang model berasal dari Mongolia yang bernama Altantuya Shaariibuu @ Aminah Abdullah.

Menurut lakaran berita dunia siber, Altantuya merupakan seorang mangsa bunuh yang diletupkan baki mayatnya dengan bahan letupan C4 di Shah Alam, Selangor. Bahan letupan C4 ini sukar diperolehi oleh orang biasa kecuali oleh pihak tentera dan polis.

Pada 1 Mei 2008, Perdana Menteri 1Malaysia pernah melalui Setiausaha Akhbar beliau Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad menafikan sekeras-kerasnya beliau terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kes kematian Altantuya. Antara kenyataan dan penafian itu termasuklah tidak mengenali Altantuya dan tidak pernah bertemu dengan Altantuya.

Sama seperti kes kematian Teoh Beng Hock, sehinggalah terputusnya kes siasatan atau pendakwaan melibatkan Abdul Razak Baginda, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, ayah Altantuya dan pihak terlibat masih tercari-cari jawapan berhubung pelbagai pertanyaan yang berkaitan dengan kes tersebut.

Selain insiden Abdul Razak Baginda yang merupakan tertuduh ketiga dalam kes kematian Altantuya dibebaskan dua hari selepas bekas Penasihat Undang-Undang UMNO Zaki Azmi dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, kes kematian Altantuya juga dikatakan tidak bersangkut-paut dengan pembelian kapal selam yang dibeli oleh Kerajaan 1Malaysia.

Peristiwa di Perancis mungkin menjawab...

Walau bagaimanapun, apa yang berlaku di Perancis baru-baru ini mungkin akan memberi jawapan kepada pelbagai pertanyaan berhubung kes kematian Altantuya yang masih tidak terjawab satu hari nanti. Menurut laporan berita AFP pada 2 Jun 2010, polis Perancis telah menyerbu pejabat pengeluar senjata DCNS dan kumpulan industri Thales berhubung siasatan terhadap penjualan kapal selam kepada Malaysia.

Berpandukan perbincangan di atas, aku yakin dakwaan bahawa kematian didahulukan dan keadilan tidak diutamakan mencorakkan slogan 1Malaysia mempunyai asasnya.

Sebab itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengulangi ketetapan untuk tidak menerima penggunaan slogan 1Malaysia dan disebarluas dalam negeri tersebut atas sebab-sebab berikut:

1) Ia slogan hipokrasi yang tidak mempunyai makna jelas dari segi tafsiran dan perlaksanaan.
2) Ia adalah slogan propaganda BN bagi mempromosi sokongan berbentuk kepartian.
3) Ia membazir wang rakyat dan pembayar cukai.

Sesungguhnya, aku berpendapat, kebenaran tidak dapat ditemui selagi Kerajaan 1Malaysia memerintah negara kesayanganku. Malahan kematian didahulukan tanpa mengira perbezaan warna kulit, darah bangsa atau fahaman agama. Keadilan juga tidak diutamakan tanpa mengira perbezaan warna kulit, darah bangsa atau fahaman agama.

Keranamu 1Malaysia, rakyat pelbagai lapisan masyarakat terpaksa melihat dari dekat kematian misteri satu per satu yang mengambil tempat di bumi 1Malaysia. Tanpa keadilan, 1Malaysia tidak bererti langsung.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Tiada ulasan: