Khamis, 23 Disember 2010

Ribuan bangkai ikan penuhi tasik

SINAR HARIAN ONLINE

PUCHONG – Ribuan bangkai ikan yang terapung di tasik 'Lake Edge' di sini akan dibersihkan dengan segera selepas penduduk mendakwa tidak tahan menanggung bau busuk dari tasik itu sejak Sabtu lalu.

Difahamkan, ikan di tasik yang turut berdekatan beberapa perumahan elit di sini mati sedikit demi sedikit sejak Khamis lalu sebelum semakin banyak bangkai ditemui.

Sinar Harian dimaklumkan ia bukanlah kejadian pertama ribuan ikan di tasik itu mati malah dikatakan berlaku setiap tahun sejak 2004.

Wakil Bahagian Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berkata, beberapa faktor dikenal pasti mungkin menjadi punca kejadian itu berlaku.

Katanya, fenomena semulajadi seperti perubahan suhu dan cuaca serta pencemaran air turut mengundang kepada faktor ikan itu mati.

“Kita sudah berhubung dengan Jabatan Perikanan dan dimaklumkan perubahan suhu dan cuaca menyumbang kepada perkara itu.

“Dalam kes ini, punca kejadian masih belum dikenal pasti dan ia mungkin disebabkan pencemaran oleh air tidak dirawat,”katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Puchong,Gobind Singh Deo ketika meninjau lokasi mahu satu cara difikirkan supaya kejadian itu tidak lagi berulang dan semua pihak dapat membuat persediaan sekiranya ia masih berlaku.

“Saya difahamkan kejadian berlaku setiap tahun, dalam kes ini ia dipercayai berlaku disebabkan pelepasan air tidak terawat dari loji IWK.Disebabkan itu saya minta agensi berkenaan turut sama membantu membersihkan bangkai ikan.

“Kita tidak mahu perkara ini menimbulkan isu kesihatan dan pencemaran air,”katanya yang mahu satu mesyuarat diadakan antara pemaju dan penduduk berdekatan supaya kesemua pihak tahu apa tindakan segera patut diambil sekiranya kejadian berulang semula.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikshan berkata, pihaknya sudah menulis surat kepada IWK supaya mengambil tindakan segera merawat air kumbahan yang mengalir ke tasik itu.

Selain itu menurut beliau, MPSJ turut mengeluarkan notis kepada pihak yang menjalankan kerja tambak tanah di kawasan berhampiran kerana melakukan kesalahan ingkar syarat-syarat kerja tanah.

“Pihak itu berdepan tindakan kompaun RM25,000 kerana membuang sisa selain binaan untuk menambak tasik itu.

“Mereka tidak boleh meneruskan kerja sekiranya kerja pembersihan tidak dijalankan,”katanya

Tiada ulasan: