Khamis, 23 Disember 2010

GMI teruskan kempen mansuhkan ISA

SELANGOR KINI


KUALA LUMPUR – Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendesak kerajaan supaya akta itu dimansuhkan dan meneruskan kempen bagi membebaskan lebih 25 tahanan ISA yang masih di Kem Kamunting.

Antara tuntutan lain termasuk memansuhkan Ordinan Kecemasan (EO), Akta Dadah Berbahaya (DDA) dan RRA atas alasan melanggar semangat Perlembagaan Negara dan Perkara 9, 10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948.

GMI seterusnya mendesak kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menggunakan undang-undang yang terkandung dalam Kanun Keseksaan untuk tuduhan jenayah.

Bercakap ketika sidang media di ibu negara pagi tadi, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh menyifatkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak seolah-olah mengenakan corak pemerintahan diktator tanpa mengambil kira desakan umum.

“Kajian ke arah meminda ISA, dikatakan ada 5 isu untuk dibawa ke Dewan Rakyat, tetapi setelah lebih setahun pegumuman dibuat Perdana Menteri pada 3 April 2009, tiada sedikit pun pindaan yang dibentangkan di parlimen.

“Jadi di manakah janji seorang Perdana Menteri apabila ingin mmebuat kajian semula tentang ISA?” soal beliau pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCH)di ibu negara pagi tadi.

Syed menambah, GMI akan bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) secara lebih komprehensif dalam isu ini.

“Jika Pakatan berjaya mengambil alih dan mereka (PR) mempunyai kerusi majoriti, kita akan sedaya upaya menghapuskan akta tersebut dan sekiranya tidak berlaku kita akan membawa ianya ke mahkamah,” ujar beliau kepada media.

Tambahnya lagi, sebanyak empat blok baru sedang dibina di kem tahanan ISA Kamunting.

Antara perkara yang dibincangkan merangkumi isu-isu yang diperjuangkan GMI sepanjang tahun 2010 termasuk kuasa menteri, tempoh penahanan, persepsi awam untuk kepentingan politik.

Turut hadir ke sidang media adalah isteri kepada seorang tahanan ISA warganegara Indonesia yang masih ditahan di kem Kamunting, Khairunaizah Mohd Akhir.

Beliau yang masih trauma dengan kejadian 11 Ogos 2010 lalu menceritakan bagaimana polis menggunakan kekerasan ketika menahan suaminnya, Mustawan Ahbab kerana dituduh terlibat dengan gerakan pengganas antarabangsa.

“Masa saya jumpa dia di Bukit Aman dan masa saya jumpa dia di Kamunting memang tidak sama,” kata Khairunaizah.

Ujarnya lagi, polis turut menggenakan ugutan terhadap isteri mangsa supaya tidak melibatkan diri dengan badan bukan kerajaan (NGO) anti ISA.

“Tempoh tahanan itu tidak tahu berapa lama, tapi dia ada beritahu kalau saya berjumpa dengan mana-mana NGO mungkin dia akan ditahan lama, mungkin kurang atau lebih,” jelas beliau kepada media.

Tiada ulasan: