Rabu, 3 November 2010

Banjir lumpuhkan aktiviti niaga Rantau Panjang, pekan Sungai Golok

BERNAMA

RANTAU PANJANG– Limpahan air Sungai Golok yang menenggelami daerah Rantau Panjang kini menyebabkan kawasan bebas cukai itu lumpuh bahkan pekan Sungai Golok di Narathiwat yang terletak bersebelahannya di Thailand juga turut terjejas.

Tinjauan Bernama mendapati, penduduk di Rantau Panjang bukan sekadar terputus hubungan dengan penduduk di luar daerah itu bahkan aktiviti perniagaan yang dijalin setiap hari membabitkan dua negara turut terhenti.

Biarpun menjangkakan kehadiran musim bah, rata-rata penduduk sempadan yang ditemui bagaimanapun meluahkan kebimbangan terhadap limpahan lebihan air di kawasan tadahan air terdekat iaitu di Sukirin, Narathiwat, Thailand yang akan menyebabkan air meningkat lebih mendadak.

Seorang penduduk, Nita Mat Ann, 31, berkata beliau kini semakin diburu kebimbangan sekiranya keadaan hujan tidak reda yang akan menyebabkan peningkatan di kawasan tadahan air itu.

“Banjir mula sejak semalam air naik, jadi hari ni memang tak niaga dah... Kita bimbanglah, kalau setakat air sungai tidak apa, tapi kalau hujan lebat lagi malam ini air tadahan itu limpah, kita akan susah kerana akan banjir besar, boleh gulung tikarlah,” kata penduduk Sukirin yang merupakan peniaga di Rantau Panjang, di sini hari ini.

Sementara itu Setiausaha kepada Datuk Bandar Sungai Golok, Fauzi Abdul Majid ketika ditemui berkata pihaknya juga bimbang dengan hujan yang dijangka turun berterusan dan turut mengeluarkan arahan berjaga-jaga kepada rakyat di sempadan Thailand.

Katanya sebagaimana penduduk di negara ini, lebih 300 keluarga di kawasan sempadan Thailand telah dipindahkan ke sebuah tempat pemindahan di Sekolah Rendah Toi Si, Sungai Golok.

Beliau berkata kebanyakan mangsa yang dipindahkan merupakan penduduk di beberapa buah kampung di tepi Sungai Golok.

“Selain mereka yang diarah pindah, ada sebanyak 30 keluarga di kawasan Sukiran bertindak meninggalkan rumah dan mendirikan khemah di atas bukit berhampiran kerana bimbang empangan pecah,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata beliau tidak dapat menyatakan tindakan kerajaan negara gajah putih itu untuk menangani banjir seterusnya selain hanya diarah membawa penduduk ke pusat pemindahan.

Sehingga petang ini, keadaan hujan di sempadan Rantau Panjang mulai reda bagaimanapun penduduk bimbang hujan yang bermula lewat malam akan berterusan malam ini.

Tiada ulasan: