Rabu, 7 April 2010

PRK Hulu S’ngor : BN Abai Kesihatan Rakyat

Oleh Noor Safinas Ghazali

KUALA LUMPUR : Sekelompok rakyat luar bandar Selangor telah diabaikan hak untuk mendapatkan tahap kehidupan dan kesihatan yang sempurna sejak sekian lama di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Itu adalah antara suara kekesalan yang dilahirkan Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar semasa program Turun Padang Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ke Sekolah Kebangsaan Cina (SKC) Bernam Seksyen, Hulu Bernam di daerah Hulu Selangor.

Dr. Xavier menegaskan kerajaan negeri akan terus memberikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar.

Beliau juga akan berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk menyediakan klinik kesihatan bergerak ke kawasan tersebut.

Pada program turun padang tersebut, Persatuan Badan Bertindak Bencana Alam Selangor (EHSAN) dengan kerjasama NGO kemanusian, INSAF Humanitarian Relief telah menyediakan sebuah khemah kesihatan dengan 5 orang doktor dan jururawat sukarelawan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan.

Aktivis Wanita Keadilan yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Dr. Doroyah Alwi, turut menyumbang tenaga memberikan khidmat pemeriksaan pergigian di dalam bas bergerak ‘Mobile Dental Clinic’.

Selain itu, Dr. Xavier Jayakumar bersama Pengerusi Jawatankuasa Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam, dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari turut meluangkan masa untuk meninjau perkhidmatan kesihatan yang disediakan.

Sebanyak RM10,000 telah disediakan oleh kerajaan Negeri bagi penyediaan ubat-ubatan dalam khemah kesihatan tersebut.

Tiada ulasan: