Khamis, 15 April 2010

Permata perlu fokus kemahiran asas pengasuh

Harakahdaily


KUALA LUMPURl: Permata serta badan kerajaan yang terlibat tidak sekadar memfokus kepada penjenamaan semula pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia tetapi turut memberi perhatian kepada aspek kemahiran asas pengasuh terutamanya dalam bantuan kecemasan agar berupaya melindungi keselamatan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar) berharap dengan perbelanjaan tambahan sebanyak RM2.1 bilion yang baru diluluskan oleh kerajaan untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, maka kerajaan tidak mempunyai sebarang alasan untuk menangani isu ini secara menyeluruh.

Ini, katanya amat kritikal dan penting ke arah memastikan kejadian yang menyedihkan di mana seorang kanak-kanak mati kerana tertelan bebola ikan di taman asuhan kanak-kanak di Tampin, Negeri Sembilan, kelmarin tidak akan berulang lagi.

“Saya menyambut baik saranan Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia cawangan Negeri Sembilan yang menyeru agar kuota 1 pengasuh kepada 3 orang kanak-kanak dipatuhi oleh semua pusat jagaan dan asuhan kanak-kanak,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar kemahiran CPR diberikan kepada pengasuh agar dapat menangani kes kecemasan sebagaimana yang berlaku di Tampin pada masa hadapan.

Beliau juga menyeru kerajaan agar dalam menaik taraf mutu perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak, memberikan keutamaan kepada aspek asas keselamatan dan kebajikan kanak-kanak sewaktu berada dalam jagaan pengasuh.

Katanya, selain memastikan kuota 3:1 yang dinyatakan di atas dipatuhi, kerajaan harus memantau dan menggalakkan pendaftaran taman asuhan dan pusat jagaan kanak-kanak agar isu keselamatan dan kesejahteraan anak-anak dapat ditangani dengan lebih pantas dan berkesan.

Tiada ulasan: