Khamis, 15 April 2010

Musa Hassan, Jaga Jenayah Bukan Jaga Parlimen

Oleh Halik Zaman


Paling lucu sekali bila kita baca dalam akhbar Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan nampak menggelabah lantas mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan tuduhannya dalam Parlimen bahawa ada ejen Israel menyusup masuk ke dalam pucuk pimpinan tertinggi polis di Bukit Aman.

Lantas tanpa fikir panjang kedudukkannya sebagai pegawai tinggi kerajaan lalu mencabar Ketua Pembangkang membuktikan tuduhannya dalam Parlimen.

Ini membuktikan Musa tidak mempercayai Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bos polis itu fikir "semua perkara, polis boleh campur tangan" walaupun perkara perkara yang timbul dalam Parlimen. 'Public' pun tahu setakat mana kuasa Ketua Polis Negara? Takkanlah sebagai seorang pegawai tinggi kerajaan beliau tidak tahu apa tanggungjawabnya?

Beliau suka main serkap jarang main hentam kromo sahaja suka hati, nak campur hal ehwal perkara yang timbul dalam Parlimen. Dia tidak tahu yang dia pegawai kerajaan. Beliau suka hati bertindak mungkin menganggap dirinya sebagai 'Menteri Polis Negara'?

Seolah-olah Musa tiada hormat kepada Menteri Dalam Negeri atau menganggap Hishammuddin bagai patung duduk di Parlimen tidak tahu memberi jawapan apa-apa sehingga terpaksa beliau bersuara dari luar gelanggang mencabar Ketua Pembangkang membuktikan tuduhannya.

Mungkin Musa tidak arif dengan peraturan Parlimen pada hal suatu hari dulu dia memberi tahu bahawa dirinya berkelulusan peguam!

Ada peruntukan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 18(2) perkara itu boleh dibahaskan dalam Parlimen menerusi notis yang diberikan. Menteri Dalam Negeri pun boleh memberi arahan kepada pihak polis, SPRM dan Majlis Keselamatan Negara untuk menyiasat tuduhan tersebut tanpa Ketua Polis Negara menyibuk campur tangan hal ehwal Parlimen.

Jaga jenayah bukan jaga politik, bos.

Walaupun rakyat mungkin kurang percaya bahawa peranan penyiasatan polis dan SPRM yang dianggap kurang berkecuali dalam siasatan mereka melakukan tugas secara bebas dan berintegriti berpandukan siasatan kematian misteri saksinya dan bekas pembantu Exco Selangor Teoh Beng Hock manakala Majlis Keselamatan Negara pula dikuasai polis dan pegawai Kementerian Dalam Negeri yang kredibilitinya dicurigai.

Lain kali fikir-fikirlah dulu baru buat kenyataan. Jangan gelojoh.


Tiada ulasan: