Sabtu, 10 April 2010

Kerajaan Negeri Bina PPRT, Wujud Rizab Tanah Untuk Orang Asal

TV SELANGOR

Barisan Nasional masih memandang masyarakat Orang Asal tidak lebih dari deposit undi semata-mata yang nasibnya tidak diendahkan dalam sebarang dasar pembangunan negara.

Apa yang lebih menyedihkan apabila Kerajaan Pusat dengan sengaja menafikan akses masyarakat Orang Asal kepada program-program pro-rakyat kerajaan negeri Selangor.

Exco Elizabeth Wong berkata Jabatan Hal Ehwal Orang Asli juga cuai dalam menguruskan kebajikan dan kemudahan kepada penduduk pribumi ini. Malahan sehingga kini masih ramai orang asli yang tidak mendapat bekalan air yang bersih atau eletrik sedangkan tiang tenaga sudahpun tegak berdiri di situ.

"Masalah utama ialah JHEOA Hulu Selangor tidak melaksanakan tugas dengan baik. Bahkan, kerajaan negeri tidak dapat satu sen dari kerajaan Pusat untuk bantu uruskan hal-ehwal orang Asal. Lantas saya diarah oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk campurtangan,"

Malahan, di peringkat paling asas sekali, kebajikan sehari-hari orang asli dan pendidikan anak mereka turut diambil mudah oleh JHEOA.

Kerajaan Negeri Selangor bagaimanapun tetap komited dengan perancangannya untuk rakyat negeri Selangor walaupun ketiadaan dana dari kerajaan persekutuan.

"Walaupun tiada dana, namun kita cuba membantu. Isu jalan misalannya, kita buat projek kecil-kecil menurap jalan dan membaiki jambatan. Awal tahun ini kita bina Projek Perumahan Rakyat Termiskin untuk masyarakat orang Asal,"

Elizabeth berkata kerajaan negeri merancang untuk merizabkan tanah-tanah khusus untuk keperluan masyarakat Asal.

"Kita sedang mencari tanah untuk dirizabkan supaya budaya dan kehidupan orang Asal dapat dipelihara. Kita tidak boleh paksa mereka berhijrah dan bekerja di bandar, kerana segenap aspek budaya mereka berligar sekitar Tanah Adat,"

"Perkara ini lebih kurang sama dengan isu Kampung Melayu, yang menjadi nadi kepada budaya masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu tidak rela berpindah dari tanah warisan mereka, begitu juga orang Asal"

Tiada ulasan: