Jumaat, 2 April 2010

Hulu Selangor Ujian Semangat BN

MERDEKA REVIEW



1. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Hulu Selangor, Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di kediamannya di akibat barah otak. Semoga Allah mencucuri rahim dan rahmatNya ke atas roh allahyarham.

2. Pemergian Zainal (gambar kanan) bermakna akan berlaku satu lagi pilihan raya kecil. Kali ini giliran Selangor pula menjadi medan "pertarungan" memenangi hati rakyat.

3. Sudah terdapat suara-suara akar umbi yang meminta BN meletakkan calon dari UMNO setelah sekian lama berada di bawah parti komponen MIC. Ini berikutan jumlah pengundi Melayu di Parlimen tersebut sebanyak lebih kurang 53.9%, Cina (26.7%), India (19%) dan lain-lain (0.4%).

4. Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Zainal memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 198 undi. Zainal Abidin mendapat 23,177 undi manakala G. Palanivel dari BN mendapat 22,979 undi.

5. Parlimen Hulu Selangor menyaksikan undi rosak antara tertinggi di seluruh negara iaitu sebanyak 1, 466 undi. Ramai yang menganggap ia merupakan undi protes terhadap isu tempatan kerana BN memenangi ketiga-tiga kerusi DUN dalam Parlimen tersebut.

6. Sungguhpun ada permintaan UMNO untuk meletakkan calon, namun saya fikir ia tidak wajar dipertimbangkan. Ini memandangkan kawasan tersebut diberi kepada MIC dalam konsep persefahaman dan perkongsian kuasa antara kaum.

7. Tiada siapa pun mahu kalah. Namun apa erti kemenangan jika prinsip ikatan persefahaman antara kaum yang dibina sejak 1957 dimusnahkan begitu sahaja hanya kerana mahu menang satu kerusi.

8. Saya percaya jika kita berpegang kepada prinsip ikatan antara kaum ini, pengundi akan memberi kemenangan seperti mana dalam pilihan raya kecil Ijok tahun 2007. Sungguhpun menentang calon "heavyweight" seperti Khalid Ibrahim, Cikgu Parthiban wakil BN dari MIC tetap menang di kawasan majoriti Melayu.

9. Jika sesiapa masih ingat dalam pilihan raya kecil Parlimen Ampang Jaya pada 1989, calon Semangat 46 ketika itu ialah bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Harun Idris. Sungguhpun ia merupakan kawasan majoriti Melayu dan berhadapan dengan sentimen pengundi Melayu mahukan wakil rakyat Melayu, namun BN tetap mempertahankan ikatan kesatuan antara kaum dengan mencalonkan calon MCA, Ong Tee Keat. Dan BN tetap mendapat sokongan majoriti termasuk di kalangan pengundi Melayu.

10. Masalah kepada sebahagian wakil rakyat bukan Melayu BN di kawasan majoriti Melayu ialah mereka membiarkan hanya UMNO ke hadapan dalam kawasan pengundi Melayu. Ini menyebabkan pengundi Melayu rasa kecil hati dan berpendapat wakil rakyat bukan Melayu daripada BN tidak mempedulikan mereka. Di sinilah timbul suara-suara mahukan wakil rakyat Melayu.

11. Saya percaya jika wakil rakyat bukan UMNO dari komponen BN lain memberi perkhidmatan kepada semua kaum dengan baik, orang Melayu tiada masalah memberi undi mereka kepada sesiapa calon BN.

12. Justeru saya tetap berpendapat BN harus meletakkan calon dari komponen MIC. Namun calon yang dipilih bukan sahaja popular di kalangan pengundi India tetapi harus juga berupaya meyakinkan pengundi Melayu dan Cina bahawa mereka juga akan mendapat perkhidmatan yang terbaik daripadanya.

13. Selebihnya meletak calon UMNO dalam kawasan yang sememangnya kerusi MIC sangat tidak molek jika berpegang kepada konsep penyatuan 1 Malaysia. Pertahankan konsep permuafakatan BN demi kesejahteraan negara.

*Tulisan ini dipetik dari blog Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor.

Tiada ulasan: