Jumaat, 9 April 2010

10 tahun tempoh tunggu tunai haji

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dijangka memendekkan tempoh menunggu untuk menunaikan haji daripada 20 tahun kepada 10 tahun menjelang Jun ini.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sasaran itu adalah antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Tabung Haji berusaha mencari jalan memendekkan tempoh pendaftaran menunaikan haji.

Menurutnya, Tabung Haji turut berusaha mendapatkan kuota bagi menambah jumlah jemaah haji.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi-agensi Di Bawah Menteri di JPM di Pusat Islam di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, warga emas berusia 75 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) diberi keutamaan untuk menunaikan haji bersama mahram mereka.

Jamil menambah, pihaknya telah meletakkan 10 KPI kepada semua agensi untuk tahun ini dan berharap ia menepati sasaran yang ditetapkan.

Beliau juga menyentuh tentang 34,000 guru Kurikulum Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang disasarkan memasuki Skim Perkhidmatan Guru KAFA pada November ini.

Katanya, KAFA mempunyai dua KPI, pertama mewujudkan skim guru KAFA dan kedua menetapkan gaji melepasi paras kemiskinan sebanyak RM720 daripada RM500.

Keadaan ini, katanya, wujud kerana terdapat guru yang mengajar di sekolah biasa di sebelah pagi dan menjadi guru KAFA di sebelah petang dan apabila skim ini diwujudkan tidak semua boleh mengikuti satu skim dalam satu-satu masa.

Justeru, kata beliau, Makmal KPI 2010, Menteri JPM sedang mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan masalah 34,000 guru KAFA di mana 40 peratus mempunyai tugas kedua.

Tiada ulasan: