Isnin, 15 Februari 2010

Malaysia masih kurang filem berunsur Islam - Habiburrahman

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Industri perfileman Malaysia masih tandus dan gagal menghasilkan karya-karya berunsur Islam yang berkesan untuk berdakwah kepada masyarakat.

Itu pandangan Habiburrahman el-Sirazy 33, novelis terkemuka dari Indonesia yang terkenal dengan karyanya bertajuk Ayat-Ayat Cinta dan Bila Cinta Bertasbih yang berjaya diadaptasi menjadi filem.

Beliau yang juga seorang penyair berkata, pembikin filem di negara ini masih tidak berani menonjolkan amalan Islam dalam karya-karya mereka menyebabkan mereka ketinggalan berbanding karya dari negara jiran itu.

"Apa yang paling penting adalah niat. Masyarakat semestinya akan melihat hasil kerja kita yang semuanya bergantung kepada penulis itu sendiri.

"Di Malaysia, mereka masih tidak berani menaikkan nilai dan imej-imej Islam dengan lebih mendalam dan contoh yang paling mudah seperti aktiviti keagamaan di dalam masjid.

"Di Indonesia, kami mengangkat masjid sebagai nilai Islam dan kalau ada nilai, kena ada simbolnya iaitu masjid itu sendiri. Ini yang kita buat untuk masyarakat di sana," katanya.

Habiburrahman ditemui pada program Hari Hiburan Islam yang turut menyelitkan program Bicara Selebriti dan tayangan filem Ketika Cinta Bertasbih yang diadaptasi daripada novel terbaru beliau.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun lepas, filem yang berunsurkan dakwah seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih yang berasal daripada novel beliau serta Laskar Pelangi mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat republik itu.

Ini kerana jelasnya, filem tersebut menyentuh secara langsung kehidupan masyarakat di negara itu yang majoritinya menganut agama Islam.

Mengulas mengenai perkembangan filem di negara ini, katanya, kebanyakannya digarap dengan baik tetapi dari segi idea dan tema masih kurang memberangsangkan.

"Cerita berbentuk Islamik kalau kita tulis dengan kaedah yang baik, maka akan dapat sambutan.

"Selain penggarapan, kematangan dan pemilihan idea juga perlu, tetapi di sini ada garapan yang bagus tapi ideanya tidak sesuai dengan masyarakat," ujarnya.

Menurut beliau, apa yang dikehendaki oleh masyarakat tidak ditampilkan sedangkan seorang sasterawan itu harus berinteraksi dengan masyarakat.

"Kalau orang haus kita kena bagi minum bukan bagi keropok. Walaupun sedap dia tidak akan ambil kerana apa yang dimahukan adalah minuman," tambahnya.

Tiada ulasan: