Rabu, 3 Februari 2010

Exco putuskan isu YBK hari ini

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Keputusan sama ada menerima atau tidak bayaran bernilai RM5.5 juta daripada Yayasan Melaka bagi menyelesaikan bayaran tunggakan cukai tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor di Serendah, Rawang hanya akan diputuskan pada mesyuarat Exco, hari ini.

Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor, berkata Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor akan membentangkan saranan serta cadangan penyelesaian dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sebelum satu keputusan dibuat.

"Berkenaan kenyataan kerajaan Melaka mengenai pengurusan tanah YBK di Serendah, kerajaan negeri sudah mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor untuk mengendalikan kes mengikut undang-undang," katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Kerajaan negeri mengingatkan kerajaan Melaka bahawa segala pelaburan dalam TBK perlu mengambil kira kepentingan rakyat Selangor seperti tertakluk kepada ‘Memorandum of Association' yayasan berkenaan.

Mengikut kenyataan itu, kerajaan Selangor mengamalkan ekonomi terbuka dan mengalu-alukan pelaburan dari dalam dan luar negara.

Oleh itu, katanya, kerajaan Selangor mengalu-alukan kenyataan kerajaan Melaka yang berminat untuk membuat pelaburan di Selangor melalui usaha sama dengan YBK dalam pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas tanah di Serendah yang diberi kepada YBK.

Sementara itu, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom ketika diminta mengulas kenyataan daripada Pejabat Menteri Besar mengenai isu berkenaan, hanya berkata: "Saya akan hanya memberi komen selepas keputusan dibuat mesyuarat Exco esok (hari ini)".

Sambil mengulangi ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, atas pembayaran yang dibuat bagi melunaskan bayaran tunggakan cukai YBK, Zainal Abidin berkata, beliau dilihat profesional dalam mentadbir negeri.

"Dalam pertemuan dengan beliau pada satu majlis di Melaka International Trade Centre, Ayer Keroh, Melaka, tengah hari tadi (semalam), Mohd Ali memberitahu saya beliau menyifatkan apa yang penting bagi kerajaan Melaka ialah mengutip bayaran cukai apabila ada orang yang mahu membayar cukai.

"Beliau berharap Menteri Besar Selangor menerima bayaran daripada Yayasan Melaka," katanya ketika dihubungi Berita Harian, malam tadi.

Kemelut tunggakan cukai tanah milik YBK berjumlah hampir RM5.7 juta termasuk penalti berterusan walaupun Yayasan Melaka sudah membantu membayar RM5.5 juta kelmarin.

Tiada ulasan: