Sabtu, 26 September 2009

Tunggu keputusan ROS sebelum bertindak - Murugiah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah berkata beliau sedang menunggu keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai rayuannya terhadap keputusan ROS yang mengesahkan pemecatan keahliannya daripada Parti Progresif Penduduk (PPP) sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Murugiah berkata beliau menghormati keputusan ROS dan telah membuat rayuan terhadap keputusan itu pada Ogos lepas, yang antara lain turut mengisytiharkan mesyuarat luar biasa yang diadakannya tidak sah, selain mengisytiharkan Datuk M. Kayveas kekal sebagai Presiden parti yang sah.

Murugiah sebelum ini dipecat daripada anggota Majlis Tertinggi parti oleh Lembaga Disiplin PPP kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan, dan beliau kemudian mengisytiharkan dirinya sebagai presiden baru PPP selepas mengadakan mesyuarat agung luar biasa di Putrajaya pada Mei lepas.

Kayveas pula mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti tanpa bertanding pada mesyuarat agung PPP ke56 pada 30 Mei lepas.

Pada sidang akhbar mengenai masa depannya beserta para penyokongnya di sini semalam, Murugiah berkata beliau bersama para penyokongnya yang didakwanya berjumlah kira-kira 157,000 orang berhasrat menyertai sebuah daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau, yang enggan menamakan parti komponen BN itu, berkata mereka akan memutuskan sama ada untuk menyertai parti itu dalam tempoh dua bulan ini, dan tidak akan menyertai parti pembangkang walaupun ada menerima tawaran daripada mereka kerana prinsip mereka adalah untuk menyokong parti komponen BN.

Walaupun tanpa parti, Murugiah berkata beliau dan penyokongnya akan turut membantu BN berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan 11 Oktober ini.

Mengenai kenyataan Kayveas pada 17 Sept lepas yang mahukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melucutkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana tidak mewakili manamana parti, Murugiah berkata beliau akan mengekalkan jawatannya itu selagi tidak menerima arahan daripada Perdana Menteri.

Tiada ulasan: