Sabtu, 5 September 2009

Syor mahkamah semak perintah tahanan ISA

UTUSAN ONLINE


MELAKA - Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan supaya perintah penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Menteri Dalam Negeri boleh disemak semula oleh mahkamah atau badan berkecuali.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan tiada tohmahan ke atas menteri berkaitan yang sering dituduh membuat keputusan berdasarkan kepada kepentingan politik.

"Pergerakan Pemuda UMNO juga mahu memastikan siapa saja yang ditahan di bawah akta ini dalam usaha membendung keganasan, boleh mendapat keadilan melalui satu mekanisme sistem kehakiman," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Nur Ramadan di Sekolah Anak Yatim Sultan Salahuddin anjuran Pemuda UMNO negeri di Pantai Kundor dekat sini semalam.

Menurut Khairy, selain itu Pemuda UMNO juga turut mencadangkan satu lagi peruntukan yang perlu dipinda dalam akta tersebut iaitu tempoh penahanan mengikut ISA dipendekkan daripada 60 kepada 30 hari saja.

Beliau berkata, dua pindaan itu antara perkara paling penting yang terkandung dalam satu memorandum mengenai cadangan pindaan ISA daripada Pergerakan Pemuda UMNO.

Memorandum itu, tambahnya akan diserahkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam tempoh terdekat ini.

"Saya rasa memorandum ini dapat diterima Hishammuddin sebab cadangan yang dikemukakan ini mengambil kira pengalaman salah seorang Exco Pemuda yang pernah menjadi tahanan ISA," katanya.

Beliau berkata, kerajaan bersedia memberi pertimbangan dari sudut kepentingan rakyat, keselamatan negara dan hak sivil individu.

Khairy berkata, Pemuda UMNO juga telah bersetuju agar ISA tidak dimansuhkan tetapi dipinda supaya ia kekal relevan dan tidak lapuk.

Sebagai negara yang membangun, katanya, Malaysia perlu ada satu undang-undang pencegahan seperti ISA.

Tiada ulasan: