Rabu, 2 September 2009

‘Sidang DUN Perak’ pembangkang dikecam

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) Perak mengecam tindakan pembangkang yang cuba mengadakan ‘Sidang DUN Perak’ hari ini walaupun mereka tidak lagi mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pemimpin terbabit berpendapat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat tidak lagi mempunyai majoriti dan tindakan mereka memanggil Sidang DUN Perak adalah tidak sah.

Ketua Pemuda Umno Perak, Maslin Sham Razman, berkata langkah pembangkang memanggil sidang DUN itu tindakan terdesak selepas menyedari pentadbiran BN berjalan lancar dan mendapat sokongan rakyat.

Beliau berkata, tindakan Adun Tronoh yang juga bekas Speaker, V Sivakumar memanggil sidang berkenaan membelakangkan demokrasi dengan meletakkan undang-undang berlandaskan kepentingan mereka.

"Pemuda mengecam keras tindakan Sivakumar memanggil sidang DUN esok (hari ini) kerana mereka sudah tiada hak lagi untuk berbuat demikian," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Selain memanggil sidang DUN, Sivakumar juga memfailkan perintah injuksi di Mahkamah Tinggi Ipoh semalam bagi menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim daripada menghalang Adun Pakatan Rakyat memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN Perak.

Adun Kubu Gajah, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata beliau terkejut dengan tindakan pakatan pembangkang kerana mahu mengadakan sidang DUN walaupun sebenarnya mereka sudah hilang majoriti.

"Kalau mereka tidak mengiktiraf sidang DUN Perak pada 7 Mei lalu kenapa mereka menghadirinya? sedangkan mereka juga mengadakan sidang DUN bawah pokok pada 3 Mac lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata rakyat sudah bosan dengan gimik politik Pakatan Rakyat yang cuba menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran negeri.

Timbalan Presiden Gerakan yang juga Pengerusi Gerakan Perak Datuk Chang Ko Youn, berkata pakatan pembangkang terutama DAP patut berhenti ‘bermain wayang’ dengan cuba mengadakan sidang DUN secara tidak sah.

Tiada ulasan: