Selasa, 1 September 2009

Samy: Tolak 'pemimpin sambilan'

BERNAMA


Kempen pemilihan kepimpinan MIC kini masuk ke pusingan akhir dan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu yang telah menamakan 'pasukan presiden', merayu kepada perwakilan memilih "pemain pasukan" dan menolak pemimpin sambilan.

"Kita hendaklah jangan memilih pemimpin yang datang ke ibu pejabat MIC (di Kuala Lumpur) hanya untuk menghabiskan masa sejam dua untuk menandatangani dokumen-dokumen dan cek-cek.

"Kita perlu memilih sebuah pasukan yang berorientasikan khidmat, pemimpin yang berkemampuan dan berdedikasi yang mampu berkhidmat kepada masyarakat India dan menunaikan hasrat mereka," katanya kepada 70 perwakilan MIC dari Pulau Pinang dalam satu majlis makan malam malam tadi.

Pulau Pinang merupakan hentian keduanya dalam kempen dua minggu yang memenatkan di seluruh negara bagi memperkenal pasukannya kepada perwakilan dengan Negeri Sembilan menjadi laluan terakhirnya malam ini.

Samy Vellu menamakan "Pasukan Presiden" yang termasuk penyandang DatukG.Palanivel bagi jawatan timbalan presiden dan tiga muka baru bagi tiga jawatan naib presiden iaitu Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam,Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany dan Timbalan
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M.Saravanan.

Beliau juga menamakan 27 anggota pasukan bagi 23 Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bagi pemilihan MIC pada 12 September. Sejumlah 1,464 perwakilan akan mengundi dalam pemilihan itu yang disifatkan oleh Samy Vellu sebagai "pemilihan paling genting".

Samy Vellu juga menyelar sesetengah pemimpin parti yang menganggap MIC sebagai "kelab hiburan bagi mendapatkan kemuliaan bagi diri sendiri" sambil mengingatkan bahawa pemimpin seperti itu tidak mempunyai tempat di dalam MIC.

"Saya telah mempersembahkan kepada anda satu pasukan pemimpin yang telah terbukti rekod perkhidmatan mereka dan memegang jawatan-jawatan dalam kerajaan," katanya.

Dengan hanya tinggal 12 hari sahaja sebelum para perwakilan menunaikan tanggungjawab mereka, Samy Vellu meminta mereka supaya berfikir dengan teliti sebelum memilih calon-calon.

"Adakah kamu mahu MIC terus dihentam dalam pilihan raya umum akan datang,"soalnya.

MIC mengalami kekalahan teruk apabila kalah dalam enam daripada sembilan kerusi kawasan Parlimen dan 12 daripada 19 kerusi dewan undangan negeri yang ditandingi pada pilihan raya umum lepas.

Samy Vellu berkata beliau telah merangka formula di mana beliau dan Palanivel akan menumpukan kepada isu-isu politik manakala Dr Subramaniam, Devamany dan Saravanan akan melaksanakan program dan dasar parti itu dengan bantuan kerajaan.

Tiada ulasan: