Rabu, 9 September 2009

Prosedur undi pos tidak akan dimansuh: SPR

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan memansuhkan Borang Lampiran 2 kerana prosedur itu mengikut undang-undang.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, lampiran 2 yang mengandungi butiran peribadi termasuk nama, MyKad dan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pengundi pos tidak pernah didedahkan SPR.

“Kita sudah beri jaminan segala berkaitan dengan undian SPR akan simpan. Kita tidak pernah mendorong atau memaksa pengundi tetapi memberi kesempatan kepada mereka untuk memilih yang mereka suka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar semalam yang mendesak SPR memenuhi beberapa tuntutan berkaitan pengendalian undi pos bagi memastikan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bersih, telus dan adil.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, selama ini, SPR tidak pernah disoal dan diminta oleh tentera atau polis mengenai undian yang dibuat bagi tujuan semakan.

Menurutnya, sejak pengendalian undi pos dilaksanakan untuk pilihan raya, tidak pernah ada penjawat awam yang diturunkan pangkat atau dibuang majikan.

“Justeru itu, tidak perlu perkara ini ditimbulkan sebab semua rakyat bebas memilih calon. Bila mereka masuk tempat pengundian mereka bebas pangkah dan masukkan ke dalam beg undian, tambahan pula ada agen parti dalam pilih pengundian,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, keputusan undi pos bukan semuanya memihak kepada kerajaan, ramai juga yang mengundi Pas, walaupun majoritinya mengundi kerajaan.

“Negara kita sudah lapan kali mengadakan pilihan raya kecil dan tujuh daripadanya dimenangi pembangkang. Kalau SPR berat sebelah, macam mana boleh macam itu.

“Jika Barisan Nasional (BN) menang lapan kerusi dalam pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini, kemungkinan kita boleh menyemak. Itu pun mereka kata SPR masih tidak telus... saya berasa pelik,” katanya.

Tiada ulasan: