Isnin, 14 September 2009

Perwakilan MIC Dirujuk Kepada Jawatankuasa Disiplin Kerana Cerca Dr Mahathir

BERNAMA


KUALA LUMPUR -- MIC akan mengambil disiplin terhadap seorang perwakilan parti yang mencadangkan supaya kalungan selipar diletakkan pada gambar mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung parti itu di sini semalam.

Presidennya Datuk Seri S.Samy Vellu berkata beliau amat kesal dengan kenyataan perwakilan itu dan dia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Dalam kenyataan di sini pada Isnin, Samy Vellu berkata beliau telah meminta perwakilan itu menghentikan ucapannya sebaik sahaja mengeluarkan kenyataan tersebut berikutan pandangan bekas Presiden UMNO itu yang didakwa mencampuri urusan dalaman MIC.

Bagaimanapun, katanya, arahannya supaya perwakilan itu menghentikan tindakannya itu tidak dilaporkan oleh media.

Samy Vellu berkata demikian bagi menjelaskan laporan sebuah akhbar bahasa Malaysia pada Isnin mengenai kenyataan perwakilan itu yang mengundang reaksi pelbagai pihak.

Murutnya, beliau telah memberitahu perwakilan pada perhimpunan agung itu supaya memberi penghormatan tertinggi kepada Dr Mahathir yang telah banyak berjasa kepada negara.

"Saya sedar bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai MIC telah menyinggung perasaan ramai perwakilan tetapi adalah tidak perlu untuk mencerca beliau sebegitu," katanya.

Samy Vellu, bekas Menteri Kerja Raya itu, berkata beliau menghormati kebebasan perwakilan membahaskan sebarang perkara tetapi apabila ia menyentuh mengenai seseorang pemimpin negara, maka beliau terpaksa campur tangan.

Minggu lepas, Dr Mahathir telah memberi pandangannya mengenai parti itu, Samy Vellu dan bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam yang bertanding merebut jawatan nombor dua parti pada perhimpunan agung itu.

Bagaimanapun, pandangan Dr Mahathir yang disiarkan oleh media tempatan itu tidak disenangi oleh perwakilan parti.

Pada pemilihan parti itu, penyandang timbalan presiden Datuk G. Palanivel menewaskan Subramaniam dan bekas naib presiden Datuk S. Sothinathan dengan majoriti 82 undi.

Tiada ulasan: