Rabu, 2 September 2009

Kurma tetap diburu biar mahal

BERNAMA


Permintaan terhadap buah tamar atau kurma terus meningkat tahun ini walaupun harganya naik hampir 10 peratus di pasaran.

Pembantu jualan syarikat pemborong dan peruncit buah tamar Almah Sdn Bhd, Hasna Mohd Sharifuddin yakin kenaikan harga pasaran tersebut tidak menjejaskan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus yang dialaminya setiap kali bulan Ramadan tiba.

Katanya pembeli kini lebih mementingkan kualiti daripada harga dalam membuat pembelian.

"Rata-rata pembeli sudah ada jenis buah tamar kesukaan mereka. Di sini, buah tamar jenis El Medina dari Tunisia dan buah tamar segar atau tamar Berhi dari Madinah mendapat permintaan tertinggi," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Almah Sdn Bhd yang beroperasi sejak sembilan tahun lalu di Medan Bunus, Kuala Lumpur, menawarkan lebih 30 jenis buah tamar yang diimport terus dari Iran, Tunisia, Oman, Mesir dan Turki.

Hasna berkata syarikat itu turut menjadi pengedar kepada lebih 30 buah kedai dan penjual di Kuala Lumpur, Ipoh, dan Kuantan.

Bagi Mohd Zaidi Nordi, beliau lebih suka membeli terus buah kurma dari pemborong kerana harga yang lebih murah, selain kualiti yang lebih terjamin.

"Di sini, (Almah Sdn Bhd) ada banyak pilihan, dan tamar yang dijual pun semuanya berkualiti tinggi," katanya.

Bagi penjual buah kurma secara kecil-kecilan Norellissurianti Abd Rashid, beliau mengakui menghadapi kesukaran untuk bersaing sesama mereka disebabkan bilangan penjual buah tamar yang meningkat setiap kali tiba bulan Ramadan.

Beliau yang menjual buah tamar sejak lima tahun lalu mengakui sukar untuk bersaing dengan penjual lain disebabkan produk dan harga yang hampir sama.

"Disebabkan ramai sangat yang menjual, kami tak berani nak berniaga buah tamar secara besar-besaran dan hanya jadikannya sebagai produk sampingan," katanya yang turut menjual makanan lain seperti serunding dan rendang.

Tinjauan Bernama di sekitar Bazaar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman mendapati rata-rata penjual buah tamar hanya menjual dalam kuantiti yang kecil dan masing-masing hanya sekadar mengambil kesempatan berniaga buah tamar sempena bulan Ramadan kerana menjangkakan permintaan yang tinggi terhadap produk itu.

Tiada ulasan: