Jumaat, 11 September 2009

Keselamatan pelajar kita dipantau

Daripada BORHAN ABU SAMAH


YOGYAKARTA - Bahagian Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta akan terus memantau keselamatan pelajar Malaysia di Indonesia walaupun gerakan anti-Malaysia telah reda.

Penasihat Bahagian Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Dr. Junaidi Abu Bakar berkata, beliau dari semasa ke semasa akan berhubung dengan pelajar Malaysia di seluruh Indonesia melalui wakil persatuan pelajar dan wakil Kelab UMNO Luar Negara.

''Saya juga telah diberi jaminan oleh pihak universiti tempat pelajar Malaysia belajar bahawa keselamatan pelajar kita akan dijaga," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis berbuka puasa dengan pelajar di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Naib Dekan Kemahasiswaan Universiti Gajah Mada, Profesor Dr. Suhardjo.

Pada majlis itu, Dr. Junaidi juga memberi penerangan kepada para pelajar prosedur yang perlu diambil apabila menghadapi sebarang masalah terutama ketika berlaku demonstrasi anti-Malaysia di kampus masing-masing.

Antara prosedur yang harus diikut itu, kata beliau, pelajar diingatkan supaya tidak menghampiri kawasan demonstrasi berlangsung.

Mereka juga, katanya, dinasihatkan supaya tidak berjalan seorang diri serta mengelak daripada pergi ke tempat-tempat sensitif seperti lokasi kegiatan anti-Malaysia.

Terdapat 484 orang pelajar Malaysia yang belajar di Universiti Gajah Mada di sini dan kebanyakan mereka di dalam bidang perubatan dan farmasi.

Di Indonesia terdapat 5,900 pelajar yang belajar di 13 buah universiti dengan kebanyakan mereka di dalam bidang perubatan.

Selain itu, jelas Dr. Junaidi, bagi pelajar yang berada di Medan, Bali dan Makassar mereka boleh merujuk kaunselor yang berada di lokasi berkenaan.

''Setakat ini keselamatan mahasiswa kita terjamin dan pihak polis sendiri telah memberi jaminan kepada saya bahawa mereka memberi keutamaan keselamatan pelajar Malaysia," katanya.

Terdahulu Dr. Junaidi turut melawat sebuah rumah sewa pelajar di sini yang dibaling dengan batu pada 30 September lalu dan dalam kejadian itu tingkap rumah berkenaan pecah tetapi tiada pelajar yang cedera.

Pelajar Malaysia di Universiti Gajah Mada juga pada 1 September lalu juga terpaksa berdepan dengan kira-kira 30 pelajar tempatan yang mengadakan demonstrasi dengan membakar bendera Malaysia serta mahu bersemuka dengan pelajar Malaysia.

Bagaimanapun tindakan pihak universiti menutup pintu kampus telah dapat menghalang kumpulan berkenaan daripada mengganggu pelajar Malaysia.

Dalam pada itu Dr. Suhardjo juga tidak bersetuju dengan tindakan kumpulan yang melakukan 'sweeping' iaitu mencari dan mengusir rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: