Selasa, 8 September 2009

Harga ayam: Pengguna perlu guna kuasa memilih

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Persatuan pengguna menasihatkan orang ramai supaya tidak cepat melatah dengan tindakan sesetengah peniaga menaikkan harga ayam sebaliknya berfikir bijak dan membuat pembelian yang betul untuk mengelakkan kerugian.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, memang lumrah peniaga mengaut keuntungan dan ia terserah kepada pengguna untuk membuat keputusan dalam pembelian.

"Kita tidak boleh menyalahkan peniaga semata-mata kerana mereka berniaga untuk mengaut keuntungan. Jadi jika berlaku kenaikan harga ayam apabila tiba musim perayaan ia perkara biasa yang sering dilakukan oleh peniaga.

"Sebaliknya orang ramai selaku pengguna perlu bijak memainkan peranan mereka dengan membuat perbandingan harga sebelum membeli," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan sesetengah pembekal dan peniaga yang menaikkan harga ayam menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ma'amor menambah, walaupun terdapat peniaga ayam yang menaikkan harga jualan mereka tetapi harga tersebut masih belum melepasi harga kawalan ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah pula, senario itu bukan perkara baru di Malaysia malah ia berlaku setiap kali tiba musim perayaan.

"Jika pengguna memutuskan untuk tidak membeli ayam maka permintaan akan kurang dan saya yakin peniaga menurunkan semula harganya untuk elak mereka kerugian.

"Peniaga juga perlu sedar pengguna tidak kerugian apa-apa jika tidak membeli ayam kerana mereka mempunyai pilihan lain seperti daging dan juga ikan," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, pengguna boleh memulaukan penjual ayam dan membuat aduan jika harga ayam yang dijual melepasi harga kawalan.

"Pengguna berhak berbuat demikian kerana tindakan peniaga itu bukan saja membebankan pengguna malah menipu pengguna kerana menjual ayam pada harga melebihi daripada yang ditetapkan," katanya.

Jacob menambah, pengguna harus mengambil inisiatif untuk mengatasi masalah ini dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam

Tiada ulasan: