Ahad, 27 September 2009

Gerakan mengalu-alukan Murugiah untuk sertainya

BERNAMA


SHAH ALAM: Senator Datuk T. Murugiah yang dipecat dari menganggotai Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) Mei lepas dialualukan untuk menganggotai parti Gerakan sebagai anggota biasa jika beliau berhasrat untuk berbuat demikian, kata Naib Presiden Parti Gerakan A. Kohilan Pillay.

"Kami amat gembira untuk menyambut penyertaan pemimpin seperti Murugiah dan penyokongnya sekiranya mereka berhasrat untuk menyertai Gerakan dan membina parti," kata Kohilan kepada Bernama ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata demikian semasa mengulas hasrat Murugiah untuk menyertai sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) bersama 157,000 penyokong pada bulan November ini, ekoran keputusan lembaga disiplin PPP memecat beliau pada bulan Mei atas tuduhan mencemar nama baik parti dan terbabit dalam politik wang.

Murugiah yang merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam berkata beliau sedang menunggu lampu hijau dari kepimpinan BN sebelum mengambil langkah berikutnya.

Murugiah yang enggan mendedahkan nama parti yang menjadi pilihannya itu berkata:"seorang pemimpin BN, yang namanya tidak dapat saya dedahkan buat masa ini, memberitahu saya supaya menunggu bagi tempoh dua bulan untuk membuat keputusan berhubung masa depan politik Kelab Penyokong BN saya".

Beliau bagaimanapun menafikan yang dia bersama penyokongnya akan menyertai parti pembangkang walaupun ada menerima tawaran dari mereka.

Kohilan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Gerakan Selangor berkata Murugiah dan penyokongnya tidak seharusnya mengharapkan apaapa balasan dari parti Gerakan dari segi jawatan tertinggi politik sekiranya mereka berhasrat menyertai parti itu.

Murugiah dalam reaksi segera mengucapkan teroma kasih kepada Gerakan terhadap tawaran itu dan berkata beliau perlu mendapat maklum balas dari kepimpinan tertinggi BN berhubung tawaran tersebut.

"Selepas mendapat izin dari kepimpinan tertinggi BN, saya perlu merujuk kepada 157,000 penyokong saya di seluruh negara berhubung tawaran itu," katanya.

Murugiah berkata beliau dan penyokongnya memilih untuk menyertai parti komponen berbilang kaum dalam BN, selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya hati beliau sentiasa dekat dengan PPP, tapi beliau amat kecewa dengan kepimpinan presiden parti, Datuk M. Kayveas.

Tiada ulasan: