Sabtu, 12 September 2009

Dua diperintah bela diri kes bon palsu PUNB RM19b

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Ahmadi @ Ahmad Zukni Johari dan Setiausaha perbadanan itu, Mohd Aminuddin Md Zain, diperintahkan untuk membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan memalsukan sijil bon PUNB bernilai RM19 bilion, sembilan tahun lalu.

Hakim S M Komathy Suppiah dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh yang tidak mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Komathy berkata, menerusi keterangan saksi pendakwaan, sejak PUNB diperbadankan ia tidak pernah mengeluarkan sebarang sijil bon.

“Apatah lagi sebagai syarikat milik kerajaan, PUNB tidak boleh mengeluarkan sijil bon tanpa kelulusan Bank Negara, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti dan Yayasan Permodalan Bumiputra.

“Ada juga bukti yang menunjukkan pada masa kejadian berkenaan, PUNB tidak mempunyai projek yang memerlukan dana sehingga RM19 bilion (AS$5 bilion) serta projek yang sedang dijalankan juga tidak banyak,” katanya.

Mahkamah menetapkan perbicaraan untuk bela diri pada 9 November depan.

Tiada ulasan: