Ahad, 13 September 2009

BN mesti tunai janji, kata Samy Vellu

MALAYSIA KINI


Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata komponen parti BN perlu menunaikan janji dan hasrat rakyat secara kolektif dan bukan secara individu.

Ini kerana rakyat menganggap BN sebagai "satu” dan bukan entiti berasingan, katanya.

“Mereka melihat kita sebagai BN dan kerajaan 1Malaysia. Mari kita bersatu untuk memakmurkan rakyat,” katanya dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung MIC ke-63 di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Perhimpunan dua hari itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Haji Yassin.

Samy Vellu berkata MIC tidak boleh menunaikan hasrat kaum India secara individu kerana ia memerlukan campur tangan kerajaan.

Walaupun Samy Vellu tidak merujuk kepada mana-mana keadaan secara khusus, MIC sejak kebelakangan ini, terutama selepas keputusan buruk dalam pilihan raya umum tahun lepas, dipersalahkan kerana tidak banyak membantu kaum India.

Pemimpin MIC itu sebelum ini menyebut bahawa MIC hanya boleh mencadangkan pelan tindakan bagi kaum India tetapi ia memerlukan campur tangan kerajaan bagi melaksanakannya.

Bagaimanapun, Samy Vellu berkata sejak Najib menjadi perdana menteri kira-kira lima bulan lalu, beliau telah meletakkan mekanisme yang sesuai bagi melaksanakan program untuk kaum India.

“Sekarang ini ada keyakinan yang tinggi terhadap BN,” katanya sambil menjelaskan bahawa banyak keputusan dibuat menerusi Jawatankuasa Kabinet bagi kaum India.

Katanya MIC telah mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Tabung Amanah Pelaburan Berjadual bagi kaum Inida untuk mencapai sasaran tiga peratus ekuiti menjelang 2020.

“Pada masa ini kedudukan ekuiti kaum India hanya 1.1 peratus. Kami perlu meningkatkan sebanyak 1.9 peratus lagi bagi mencapai sasaran tiga peratus menjelang 2020," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam dipercepatkan bagi mencapai kuota 7.4 peratus bagi kaum India seperti yang ditetapkan kerajaan.

“Kami juga ingin mendapatkan bantuan kerajaan bagi mengarahkan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada kaum India. Kami juga sedar bahawa ramai kaum India yang diambil bekerja secara kontrak dan oleh itu meminta kerajaan bagi memastikan mereka diserap sebagai kakitangan tetap,"
katanya.

Beliau berkata parti itu juga mahu kerajaan mempercepatkan pertukaran sekolah separa bantuan Tamil kepada sekolah bantuan penuh.

Samy Vellu berkata adalah penting untuk mempercepatkan inisiatif perpaduan nasional seperti yang dicadangkan di bawah konsep 1Malaysia.

“Kami mencadangkan supaya setiap agensi kerajan dan kementerian supaya membangunkan dan menggabungkan satu KPI bagi Perpaduan Nasional yang perlu dilaksanakan dan diukur pencapaiannya sehingga ke peringkat daerah. Penekanan bagi KPI sehingga 30 peratus perlu digalakkan bagi perpaduan nasional," katanya.

Tiada ulasan: