Rabu, 2 September 2009

Banjir menular ke Pendang

UTUSAN ONLINE


ALOR SETAR - Setelah daerah Yan dilanda banjir, kini sebanyak 163 penduduk di daerah Pendang pula terpaksa dipindahkan ke Kompleks Sukan Rakan Muda, Tanah Merah, kerana rumah mereka dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Supritendan Abdul Aziz Ahmad berkata, sehingga petang ini sebanyak 11 kampung di daerah itu telah dinaiki air kerana limpahan air di kawasan hulu sungai.

"Kesemua mangsa telah dipindahkan secara berperingkat-peringkat, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, seramai 494 penduduk di sekitar Yan masih berada di pusat-pusat pemindahan hari ini kerana banjir yang melanda kampung mereka masih belum surut sepenuhnya.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Yan berkata, kesemua mangsa tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masih kerana paras air masih tinggi.

"Hujan berterusan menyebabkan air dari kawasan Gunung Jerai turun dan memasuki sungai-sungai di sekitar Yan.

"Penduduk perlu tinggal di pusat pemindahan banjir buat sementara untuk keselamatan mereka," ujarnya.

Tiada ulasan: