Jumaat, 11 September 2009

Aset 40 orang paling kaya di Singapura cecah AS$39 bilion

BERNAMA


SINGAPURA: Aset 40 orang paling kaya Singapura kini berjumlah AS$39 bilion, meningkat 22 peratus berbanding AS$32 bilion tahun lalu, demikian menurut Senarai Orang Paling Kaya Singapura 2009 Forbes Asia.

Dalam senarai yang dikeluarkan hari ini, Forbes berkata peningkatan kekayaan itu sebahagiannya disumbangkan oleh lonjakan dalam pasaran saham negara berkenaan kepada hampir 90 peratus sejak paras terendahnya pada Mac.

"Tahun ini, 19 jutawan dalam senarai itu menjadi lebih kaya, termasuk enam daripada 10 orang paling kaya dalam senarai itu, manakala nilai bersih 13 yang lain susut," katanya.

Mendahului senarai itu ialah tokoh berpengaruh sektor hartanah berusia 81 tahun, Ng Teng Fong, yang memiliki aset bersih AS$8 bilion, meningkat berbanding AS$7 bilion tahun lalu.

Ng dan keluarganya menguasai syarikat milik persendirian, Far East Organisation dan anak syarikatnya, Sino Group, yang sudah memajukan lebih 700 hotel, gedung beli-belah dan kondominium di sini dan Hong Kong.

Keluarga mendiang Khoo Teck Puat, pemilik bank, yang aset bersihnya susut ASS$600 bilion pada 2008 kepada AS$5.5 bilion, kekal di tempat kedua.

Mendiang mewariskan harta kepada 14 anaknya pada 2004 namun keluarga berkenaan menjual pegangan dalam Standard Chartered Bank pada 2006 bagi kira-kira AS$4 bilion.

Mereka masih menguasai Goodwood Group of Hotels.

Forbes berkata orang yang mendapat keuntungan paling besar tahun ini ialah jutawan minyak sawit berusia 60 tahun, Kuok Khoon Hong, dengan menduduki tangga ketiga dalam senarai itu, meningkat dari tempat kelima tahun lalu apabila aset bersihnya meningkat sebanyak AS$2.2 bilion kepada AS$3.5 bilion, setelah sahamnya dalam firma minyak sawit, meningkat 70 peratus sejak tahun lalu.

Ahli perniagaan baru yang tersenarai ialah pemaju hartanah, Kwee Brothers, menduduki tempat keempat dengan memiliki aset bersih AS$3.2 bilion, (5) Pengerusi United Overseas Bank, Wee Cho Yaw (AS$3.1 bilion), (6) jutawan hartanah Zhong Sheng Jian (AS$2 bilion), (7) pelabur Peter Lim (AS$1.5 bilion), (8) Pengerusi Eksekutif Hong Leong Group, Kwek Leng Beng (AS$1.2 bilion), (9) bekas pengerusi Oversea-Chinese Banking Corp Singapura Lee Seng Wee (AS$800 juta) dan (10), rakyat Malaysia Ong Beng Seng dan isterinya Christina Ong (AS$700 juta).

Syarikat Ong, 65, dan isterinya, kini disenarai di republik ini. Mereka adalah antara pasangan paling berpengaruh di sini.

Ong, ialah pengarah urusan hartanah hotel yang termasuk Four Seasons, hotel Hard Rock di Asia Tenggara, selain memilih hak ke atas Grand Prix Singapura.

Beliau baru sahaja menjadi pengedar rasmi Ferrari tunggal republik itu manakala isterinya mengurus Como Hotels & Resorts, Club 21, memiliki studio yoga dan kedai makanan kesihatan.

Tiada ulasan: