Selasa, 8 September 2009

2 Adun Selangor dijangka dipanggil beri keterangan

Selcat tak puas hati berhubung isu peruntukan kerajaan negeri

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SHAH ALAM: Exco Selangor, Ronnie Liu dijangka dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan berhubung penggunaan peruntukan kerajaan negeri pada sesi pendengaran awam kedua Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggung-jawaban dan Ketelusan (Selcat) yang bermula hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran daripada DAP itu dijangka memberi keterangan berhubung perbelanjaan sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini pada hari keempat sesi itu berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Pembangunan itu mengesahkan beliau antara dua Adun Pakatan Rakyat yang akan dipanggil memberi keterangan berhubung penggunaan peruntukan kerajaan negeri untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Seorang lagi Adun Pakatan Rakyat yang disebut-sebut ialah Adun Seri Setia yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi juga menjaga peruntukan bagi DUN Pelabuhan Klang selepas kerajaan negeri tidak puas hati dengan prestasi kerja wakil rakyat kawasan itu, Badrul Hisham Abdullah, yang baru-baru ini juga mencetuskan kontroversi kerana didakwa mahu lompat parti.

Sesi Pendengaran Awam akan bermula hari ini sehingga 11 September dan disambung 15 September di Dewan Annex, bagi menyiasat peruntukan tahunan DUN bagi tahun lalu dan tahun ini.

Selcat dipengerusikan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Teng Chang Khim bertujuan menyiasat sama ada wujud penyelewengan atau pembaziran dalam perbelanjaan peruntukan setiap Adun sepanjang 2008 dan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Sesi kali ini akan memberi fokus kepada peruntukan tahunan sebanyak RM500,000 bagi setiap DUN yang didakwa habis dibelanjakan dalam tempoh tiga bulan pertama 2008 iaitu sebelum pilihan raya umum pada Mac tahun lalu.

Bagi kes itu, beberapa pegawai daerah akan dipanggil sebagai saksi utama memberi keterangan bagaimana peruntukan itu diluluskan selain menyiasat bagaimana 203 permohonan peruntukan diluluskan dalam tempoh satu hari dan peruntukan diluluskan walaupun selepas Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008.

Sesi pendengaran itu bagaimanapun tidak akan mengambil sebarang tindakan sebaliknya hanya menyiasat bagaimana peruntukan digunakan dan diluluskan bagi mencari jalan untuk menambah baik sistem untuk mengelak perkara sama berulang pada masa akan datang.

Tiada ulasan: