Selasa, 22 September 2009

18 bayi Syawal lahir di Hospital Kuala Lumpur

UTUSAN ONLINE


Norlaily Ismail memangku Muhammad Adam Fitri yang lahir pada 1 Syawal di Hospital Besar Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini paling bermakna bagi pasangan suami isteri apabila menerima kedatangan 'orang baru' pada 1 Syawal.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati seramai 18 bayi dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 1 Syawal manakala Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan enggan mendedahkan maklumat berkenaan.

Bagi Norlaily Ismail, 33, dan suaminya Mohd. Shaiful, 32, mereka berkongsi kegembiraan itu dengan menamakan bayinya sebagai Muhammad Adam Fitri.

Norlaily berkata, walaupun tidak dapat menyambut 1 Syawal bersama sanak saudara tetapi beliau tetap bersyukur apabila dihadiahkan dengan kedatangan orang baru dalam keluarga.

"Kami berasa amat gembira kerana ia merupakan cahaya mata yang pertama bagi kami,'' katanya kepada Utusan Malaysia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.

Bagi pasangan suami isteri, Kamariah Mohammed Arshad, 36, dan Shamzulani Mat Jusoh, 37, kedatangan orang baru dalam keluarga mereka amat menggembirakan.

Kamariah berkata, dia tidak pernah terfikir akan mendapat orang baru yang merupakan anak keempat mereka pada 1 Syawal.

"Kami akan meraikan Aidilfitri dan kedatangan orang baru ini bersama sanak-saudara di Kelantan,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPUKM di sini hari ini.

Tiada ulasan: