Ahad, 9 Ogos 2009

Tapis internet: Bukti BN tidak telus

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Pengumuman Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim bahawa Kerajaan Persekutuan merancang untuk memperkenalkan penapisan Internet menunjukkan satu lagi contoh perbuatan 'tidak telus' pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan Wanita Keadilan, Elizabeth Wong berkata, merujuk kepada 10 Jaminan Rang Undang-undang MSC Malaysia menjelaskan, tidak ada syarat-syarat tertentu untuk mewujudkan penapisan internet dan jika dilaksanakan, ia jelas menunjukkan rang undang-undang itu tidak bermakna.

Beliau yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan berkata, jaminan yang diberikan Rais hanya akan memfokuskan kepada pornografi yang tidak berasas.

Menurutnya, ia menunjukkan permulaan kepada jalan kehancuran yang tidak mempunyai penghujung, kecuali ia dikawal oleh kerajaan yang memantau setiap pergerakan yang dibuat oleh rakyat.

“Seorang pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipetik dalam satu laporan AFP yang berkata, 'penulis-penulis blog yang membakar sentimen-sentimen perkauman merupakan sasaran kepada rancangan penapisan ini.'

“Perkara ini jelas menunjukkan jalan pintas untuk menapis pendapat-pendapat yang bersimpati kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk dipaparkan dalam blog, laman web berita atau forum-forum,” katanya menerusi kenyataan media, kelmarin.

Elizabeth berkata, kerajaan perlu berhenti mengharamkan sesuatu dalam usaha untuk mencapai penyelesaian.

“Undang-undang yang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Multimedia, Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan sudah pun mencukupi, manakala kawalan kendiri serta peraturan mesti ditekankan.

“Sebagai contoh, jika hendak membandingkan dengan kelemahan negara China dan penangguhan pembinaan Empangan Green sebagai model, adalah menakutkan kepada rakyat Malaysia yang hanya mempunyai sedikit kebebasan untuk meluahkan perasaan,” katanya.

Beliau mendakwa, melalui kajian yang dijalankan oleh Universiti Michigan membuktikan terdapat kelemahan dalam keselamatan sistem perisian ini.

Tambahan pula, keputusan tersebut berkemungkinan menjadi sumber kepada penyebaran dalam pasaran gelap untuk memintasi sebarang penapisan.

“Sebagai menteri, Rais sepatutnya lebih memahami semua perkara mengenai Internet secara menyeluruh, seperti yang beliau pernah nyatakan baru-baru ini bahawa internet merupakan salah satu kaedah ‘penjajahan’ era baru.

Tiada ulasan: