Isnin, 17 Ogos 2009

Taklimat tertutup perjelas isu babitkan Ong

Andrew Ong


Satu taklimat tertutup untuk para perwakilan MCA diadakan hari ini untuk membolehkan Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat memberi penjelasan mengenai siri kontroversi yang melandanya minggu lalu.

Menurut beberapa perwakilan, antara isu-isu utama ialah dakwaan Ong bahawa wujudnya kuasa dalaman dan luaran yang berkonspirasi menentangnya.

Antara kuasa luaran tersebut, dikatakan mereka yang di sebalik projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang tidak senang dengan Ong, yang juga menteri pengangkutan, kerana mendedahkan penyelewengan yang didakwa membabitkan mereka.

Manakala kuasa dalaman pula, Ong dikatakan memberitahu perwakilan bahawa terdapat satu kumpulan yang juga menggunakan skandal PKFZ sebagai alasan untuk memanggil mesyuarat agung luar biasa untuk menentang kepimpinannya.

Walaupun tidak menamakan sesiapa, Ong dilihat secara tidak langsung menuding jari kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Hubungan antara keduanya sememangnya tegang, malah sejak sebelum mereka terpilih ke jawtan masing-masing tahun lalu.

Chua dan penyokongnya tidak kelihatan semasa taklimat tiga jam itu, yang diadakan di ibupejabat MCA di Kuala Lumpur.

Pemimpin tinggi yang lain, termasuk keempat-empat naib presiden, setiausaha agung, bendahari agung, ketua Pemuda dan Wanita, hadir.

Sewaktu taklimat tersebut, Ong mengulangi penafianny bahawa beliau telah menerima derma RM10 juta dari ahli parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.

"Presiden memberitahu pemimpin akar umbi bahawa beban bukti tuduhan tersebut adalah di bahu orang yang menuduhnya," kata setiausaha agung MCA, Wong Fook Ming kepada pemberita.

Ong juga mengulangi penjelasannya bahawa beliau tidak pernah menerima bil bagi penggunaan kapal terbang milik syarikat Tiong dan oleh sebab itulah beliau tidak menjelaskan bil yang dilaporkan berjumlah ASD40,000 (RM150,000).

Tiong adalah orang kuat Baru Global Holdings Bhd syarikat induk Kuala Dimensi Sdn Bhd - yang merupakan kontraktor turnkey bagi projek PKFZ yang menelan belanja berbilion ringgit.

Kuala Dimensi berulangkali menafikan dakwaan kementerian pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang bahawa ia mengaut keuntungan besar daripada projek PKFZ.

Syarikat itu juga berkata bahawa ia tidak pernah disoal atau dibenarkan membela diri, oleh pihak auditor, pasukan petugas khas dan jawatankuasa khas yang dilantik oleh Ong untuk menyiasat skandal PKFZ.

Di akhir majlis taklimat tersebut, kata Wong, kira-kira 700 hingga 800 perwakilan meluluskan usul menyokong Ong dalam berdepan dengan isu-isu berkenaan.

"Saya puashati dengan taklimat tersebut, saya telah katakan apa yang saya hendak katakan. Ianya satu sesi interaktif yang bagus. Terdapat (beberapa) soalan yang tajam dan soalan yang bagus," kata Ong ketika diasak oleh pemberita kemudiannya.

Sokongan merosot?

Bagaimanapun, tidak semua ahli yang berpuas hati dengan Ong, termasuk ketua MCA bahagian Kapar, Song Kee Chai yang gagal mendapat sebarang jawapan mengenai desas-desus mengenai seorang lagi pemimpin tinggi MCA yang didakwa menerima RM1 juta dari Tiong.

"Tanggungjawab kita ialah melaporkan maklumat kepada pucuk pimpinan parti. Saya kecewa kerana tidak mendapat sebarang jawapan," kata Song.

Pemimpin tinggi MCA itu juga dikatakan pernah menggunakan pesawat peribadi milik Tiong.

Manakala mereka yang tidak sehaluan dengan Ong juga mempersoalkan motif sesi taklimat itu diadakan dan berkata presiden MCA itu hanya mencipta musuh imaginasinya sendiri.

"Apa gunanya pergi jika mereka hanya mahu menyalahkan kita bagi masalah yang dihadapinya? Sama ada beliau menerima RM10 juta atau tidak, itu adalah antara beliau dengan Tiong. Jangan salahkan kami," kata seorang pemimpin bahagian kepada Malaysiakini.

Seorang sumber dalaman parti memberitahu Malaysiakini bahawa taklimat tersebut diadakan hari ini untuk memperkukuhkan sokongan terhadap Ong selepas timbul keraguan terhadap kepimpinannya ekoran terdedahnya hubungan lamanya dengan Tiong.

Sementara itu, bendahari agung MCA, Tee Hong Seng memberitahu pemberita bahawa tiada rekod yang menunjukkan parti itu menerima sumbangan RM10 juta tahun lalu.

Tiada ulasan: