Rabu, 19 Ogos 2009

SPDP berniat menyeberang . MCA: Kami tidak gentar!

MERDEKA REVIEW


Timbalan Setiausaha Agung MCA, Loke Yuen Yow menegaskan bahawa MCA yang ditubuhkan sejak 60 tahun lalu, mempunyai asas yang mantap, idealisme politik yang bernas, organisasi akar umbi yang meluas ke seluruh negara dan ahli yang taat setia. Maka, MCA tidak bimbang digantikan, mahupun diancam oleh parti yang lain.

Loke berkata, MCA tidak bimbang terhadap sebarang rancangan parti dari Timur Malaysia yang mencuba untuk menyeberang ke Semenanjung Malaysia, kerana MCA menghormati sepenuhnya kebebasan berpersatuan sebagai hak asasi rakyat. Malah, kemampuan sesebuah parti politik untuk memenangi hati pengundi tidak boleh disamakan seperti perniagaan, iaitu setiap pelaburan wang akan mendapat balasan, tetapi bergantung kepada idea politik, sifat parti dan batas situasi politik.

"Mana-mana parti komponen BN dari Timur yang cuba berakar di Semenanjung, perlu bergantung kepada sokongan dan komitmen parti komponen BN di Semenanjung, termasuk MCA. Ia bukan boleh berjaya hanya dengan kekuatan sendiri dan wang smata-mata," kata Loke.

"Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) berhajat menyeberang ke Semenanjung, apakah MCA akan gentar? Namun, perlu saya ingatkan, bahawa budaya politik wang di Timur berleluasa, lebih parah daripada politik di Semenanjung. Ini adalah fenomena yang diketahui umum. Pada masa ketika parti komponen BN di Semenanjung bersungguh-sungguh membanteras rasuah, seandainya parti dari Timur membawa politik wang ke Semenanjung, ini bukanlah sesuatu yang baik. Ia semestinya menjejaskan reputasi BN dan sokongan asas BN, lantas mengancam pembangunan politk negara yang sihat," tambah Loke.

Selain itu, ketika meluahkan pandangan peribadi, Loke berterima kasih kepada Tiong King Sing (gambar kiri) yang mengesahkan rancangan partinya untuk menyeberang ke Semenanjung. Dengan itu, Tiong telah mengingatkan MCA bahawa MCA perlu mempertimbangkan semula untuk menyeberang ke Timur. Seandainya rancangan ini berjaya, maka MCA akan menjadi parti seluruh Malaysia.

"MCA telah berjaya berakar umbi di Sabah, maka meluaskan pengaruh ke Sarawak adalah tugas yang mudah. Malah, MCA boleh berkhidmat untuk komuniti Cina di Sarawak. Komuniti Cina tempatan semestinya ingin melihat usaha ini berjaya, kerana terdapat empat orang Menteri dan tujuh orang timbalan Menteri MCA yang boleh menyampaikan suara komuniti Cina Sarawak dengan lebih berkesan dalam kabinet, dan memperjuangkan lebih kepentingan untuk mereka," katanya.

*Loke Yuen Yow ialah Timbalan Setiausaha Agung MCA. Kenyataan media ini dikeluarkan setelah Bendahari Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak, Tiong King Hing mengesahkan bahawa partinya berniat untuk menyeberang ke Semenanjung.

Tiada ulasan: