Isnin, 10 Ogos 2009

A. Samad Said diiktiraf

UTUSAN ONLINE


Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberi pengiktirafan kepada Sasterawan Negara, Datuk Dr. A. Samad Said menerusi majlis ‘Penghargaan Menjelang 75 tahun’ untuknya di ibu negara, malam semalam.

Majlis itu menjadi lebih bermakna apabila buku terjemahan Cinta Fansuri dan Balada Silam Peta bertajuk Fansuri’s Love dan Ballad of the Lost Map turut dilancarkan.

Acara pelancaran buku terjemahan terkini terbitan ITNM hasil karya A. Samad Said itu disempurnakan Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Lebih menarik, beberapa penggiat sastera turut tampil mendeklamasikan puisi karya sasterawan tersohor itu antaranya, Pertama dan terakhir serta ‘Rindu ibu’.

ITNM juga menganjurkan bengkel penghayatan karya A. Samad disertai mahasiswa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan Kolej Universiti HELP.

Setiap peserta dibahagikan kepada tiga bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman iaitu Namron (Bengkel Seni Teater), Sharifah Maswari Syed Bakar, Drew Harris (Bengkel Seni Tampak) dan Taja dari kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) (Bengkel Seni Muzik).

Tiada ulasan: