Khamis, 20 Ogos 2009

Raja Aziz ketuai pembelaan kes liwat Anwar

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Selepas mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes rasuah pada 1998, peguam Raja Aziz Addruse sekali lagi dilantik oleh Anwar untuk menerajui pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes liwatnya yang kedua.

Raja Aziz yang juga bekas Presiden Majlis Peguam menggantikan peguam terkemuka, Sulaiman Abdullah, yang terpaksa menarik diri atas sebab-sebab kesihatan pada 15 Julai lalu.

Peguamcara Anwar, SN Nair, dalam satu kenyataan hari ini, berkata Raja Aziz dalam pasukan pembelaan baru itu akan dibantu oleh peguam Datuk Param Cumaraswamy, peguam veteran Karpal Singh, dan Datuk CV Prabakharan serta beliau sendiri.

"Anak guam kami, isteri serta keluarganya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Sulaiman yang melaksanakan tugasnya dengan baik dan mengharapkan segala yang terbaik buatnya," katanya.

Dalam barisan pembelaan sebelum ini Sulaiman dibantu oleh Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Anwar, 62, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini pada 26 Jun tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Jenayah menetapkan 2 September bagi sebutan perbicaraan liwat itu. Mahkamah Tinggi sebelum ini menetapkan 1 Julai untuk perbicaraan kes itu tetapi menangguhkannya sehingga empat permohonan yang difailkan Anwar, selesai.

Tiada ulasan: