Jumaat, 21 Ogos 2009

Pelajar diberi cuti jika 500 dijangkiti di sekolah

MY METRO


PUTRAJAYA: Pelajar yang tidak terbabit dengan peperiksaan akan diberi cuti jika bilangan pelajar yang dijangkiti Influenza A (H1N1) di sesebuah sekolah, melebihi 500 pelajar.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata langkah itu satu daripada tiga pendekatan yang digunakan bagi memastikan jadual peperiksaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), tidak terjejas.

“Jika perlu kita akan memberi cuti kepada pelajar lain yang tidak ambil peperiksaan, jika jumlah pelajar yang perlu mengambil peperiksaan tetapi dijangkiti H1N1 melebihi 500 orang di satu-satu sekolah atau sekiranya jumlahnya kecil, pelajar yang dijangkiti H1N1 akan diasingkan.

“Namun, jika jumlah yang dijangkiti hanya sedikit, mereka boleh mengambil peperiksaan di hospital dan kita akan menghantar guru untuk memantau mereka,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau ditanya mengenai pendekatan yang digunakan Kementerian Pelajaran bagi memastikan jadual peperiksaan utama itu tidak terjejas berikutan penularan wabak H1N1 ketika ini.

Dalam perkembangan lain, Alimuddin berkata, peruntukan RM2.6 juta bagi membiayai kos pembelian termometer, topeng penutup muka dan pencuci tangan diagihkan kepada pelajar seluruh negara tidak mencukupi menampung keperluan dua juta pelajar.

“Sehubungan itu, kita mengemukakan permohonan mendapatkan peruntukan tambahan untuk membiayai kos terbabit bagi mengekang penularan wabak Influenza A (H1N1) di sekolah.

“Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) akan memohon peruntukan itu sebagai tambahan kepada peruntukan sedia ada,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, ibu bapa diminta tidak terlalu bergantung kepada pihak sekolah untuk membekalkan topeng muka kepada semua pelajar.

“Ini kerana kami akan memberikan keutamaan kepada pelajar kurang berkemampuan,” katanya.

Alimuddin berkata, sebanyak 100 sekolah sudah ditutup sejak penularan wabak H1N1, bagaimanapun tiada sekolah ditutup dua kali akibat wabak berkenaan.

Tiada ulasan: