Sabtu, 15 Ogos 2009

P. Pasir: BN guna sentuhan peribadi pikat pengundi

BERNAMA


Jentera pilihan raya BN Pulau Pinang menggunakan pendekatan "sentuhan peribadi" dengan mendekati dan bertemu sendiri pengundi semasa berkempen pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir.

Pengerusi BN Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata menerusi pendekatan itu, BN dapat mendengar pandangan selain memahami keperluan pengundi di kawasan itu.

"Kita akan ikut strategi seperti di Manik Urai, di mana kita buat pendekatan dari rumah ke rumah dan membuat perbincangan kelompok kecil untuk bertemu dan memahami keperluan pengundi," katanya kepada wartawan selepas merasmikan seminar Kenegaraan dalam Konteks Perlembagaan Persekutuan dan Perpaduan Negara 2009 sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-52 di ibunegara hari ini.

Pilihan raya kecil itu, yang dijadualkan pada 25 Ogos, akan menyaksikan calon BN Rohaizat Othman yang juga Setiausaha Umno Cawangan Permatang Pauh mencabar Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS pada 31 Julai lepas.

Dr Koh juga meminta jentera pilihan raya BN supaya beusaha gigih untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu.

"Peluang BN baik setakat ini...kita hendaklah terus berusaha dengan gigih untuk yakinkan para pengundi supaya mengundi BN," katanya.

Sementara itu, Dr Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan akan memantapkan lagi unit Rukun Tetangga (RT) dan menjadikannya satu saluran untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi.

Setakat ini terdapat 4,300 unit RT di seluruh negara dan kerajaan mensasarkan menubuhkan 300 unit RT setiap tahun.

Tiada ulasan: