Rabu, 19 Ogos 2009

Nik Aziz pertahan dakwaan Umno ketepikan Islam

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan kenyataannya mendakwa dasar dibawa Umno tidak akan membawa penyokongnya ke syurga.

Beliau berkata, Umno mengamalkan dasar kebangsaan yang memisahkan agama dan politik dan tindakan itu sama seperti mengasingkan Islam dan iman.

Nik Abdul Aziz turut menafikan beliau menyebut Islam yang dibawa Umno sama seperti diamalkan di Palestin dan menganggap laporan itu sebagai tuduhan yang mahu melagakan beliau dengan Palestin.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya, ini nak melagakan saya dengan Palestin pula. Saya juga tak guna perkataan ahli Umno (seperti dilaporkan media), saya guna penyokong Umno,” katanya pada sidang media bagi menjelaskan kenyataannya itu di sini, semalam.

Beliau juga berkata, Pas dan Umno sering tidak sependapat bukan disebabkan hal berkaitan pembangunan seperti dibangkitkan Umno, sebaliknya dasar dan fahaman yang berbeza.

“Masa Nabi Muhammad SAW dulu tak timbul hal pembangunan fizikal. Jika kita kaji, Nabi Muhammad apa benda pembangunan dibuat... hanya dua masjid, tak ada benda lain, tapi Baginda ‘cuci otak’ orang supaya mengamalkan hidup, akidah dan ekonomi cara Islam.

“Hal dasar ini menyebabkan Pas bertengkar dengan Umno, pembangunan sama-sama ada. Kelantan ada pembangunan, negeri lain pun ada, tetapi dasar Umno sekular, agama lain politik lain. Dasar kita agama dan politik digabungkan supaya hidup kita selari dengan kehendak Allah,” katanya.

Mengenai kenyataan Tan Sri Harussani Zakaria yang menyebut tiada nas dalam al-Quran dan hadis mensyaratkan seseorang perlu menjadi ahli sesebuah parti politik sebelum dijanjikan syurga, beliau berkata, sepatutnya Mufti Perak itu dapatkan kenyataannya terlebih dulu dan tidak hanya berdasarkan kenyataan akhbar.

“Sepatutnya seorang mufti nak keluarkan kenyataan, tanya saya dulu, tak boleh ikut surat khabar, akhbar arus perdana ini akhbar Umno, (tetapi) dia nak buat juga dia punya pasal,” katanya.

Tiada ulasan: