Rabu, 19 Ogos 2009

Mahkamah benar bedah siasat kedua

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam membenarkan permohonan kakak kepada lelaki, yang mati dalam tahanan polis pada 16 Julai lalu bagi bedah siasat kedua dilakukan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan R Ganga Gowri, 32, untuk bedah siasat kedua dilakukan ke atas R Gunasegaran, 31, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mohamad Zabidin memerintahkan salinan laporan bedah siasat pertama yang dilakukan Hospital Kuala Lumpur diserahkan kepada peguam pemohon dua minggu mulai semalam.

Beliau berkata, mahkamah menolak permohonan Ganga Gowri untuk semakan kehakiman terhadap tindakan koroner kerana pakar kematian yang melakukan bedah siasat terhadap Gunasegaran itu mematuhi prosedur mengikut Kanun Acara Jenayah.

Mohamad Zabidin juga menolak permohonan bagi mendapatkan semua kenyataan beramaran dicatatkan polis mengikut Seksyen 112 kanun itu, tetapi membenarkan dokumen lain yang berkaitan kepada pemohon.

Mahkamah turut memerintahkan inkues segera bagi menentukan punca kematian Gunasegaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan bagi bedah siasat kedua memandangkan ia dibenarkan mengikut undang-undang.

Gunasegaran meninggal selepas dua jam ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung dakwaan salah guna dadah.

Mayat Gunasegaran ditempatkan di Rumah Mayat HKL dan belum dituntut.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam Ganga Gowri, M Visvanathan, berkata bedah siasat itu dilakukan esok oleh ahli patologi, Dr Prashant Naresh Samberkar di PPUM.

Tiada ulasan: