Khamis, 13 Ogos 2009

LZS agih RM18 juta untuk fakir miskin

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM18 juta kepada 21,000 fakir miskin di seluruh negeri yang telah dikenal pasti menerima bantuan itu bagi meringankan bebanan mereka menjelang Ramadan dan Syawal tahun ini.

Menurutnya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, peruntukan sebanyak RM18 juta itu, berbentuk tunai yang mana bantuan tersebut sudah pun diagihkan sejak awal Ogos lepas.

“Bantuan tersebut yang telah mula diagihkan sejak 4 hingga 25 Ogos adalah dalam bentuk tunai antara RM500 dan RM1,000 setiap keluarga mengikut kelayakan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kuiz Zakat & Fly anjuran LZS dengan kerjasama Air Asia Bhd di sini, semalam.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohamad Adzib berkata kutipan zakat pendapatan di Selangor bagi tahun ini mencecah RM103 juta sehingga semalam iaitu meningkat RM12 juta berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Walaupun fenomena kelembaban ekonomi melanda negara sejak awal tahun ini ia tidak memberikan kesan kepada kutipan zakat di Selangor, ini menunjukkan peningka-tan positif,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan jumlah kutipan zakat itu menunjukkan umat Islam mempunyai kekuatan luar biasa untuk menunaikan kewajipan masing-masing walaupun ketika ekonomi negara dilanda kegawatan.

“Melalui hasil kutipan zakat yang dibuat, saya lihat kutipan makin bertambah. Ini menunjukkan rakyat mampu untuk membayar zakat dan ia tidak sama sekali terjejas walau berhadapan dengan kemelut ekonomi negara.

Mengenai Kuiz Zakat & Fly, Mohamad Adzib berkata, pembayar zakat di negeri ini berpeluang memenangi hadiah berupa tiket penerbangan pergi dan balik ke beberapa destinasi terpilih seperti London, Australia, China, Bandung, Jakarta dan Bangkok.

“Beberapa destinasi domestik termasuk Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang, Kota Kinabalu turut ditawarkan kepada pemenang,” katanya.

Beliau berkata setiap bayaran zakat bernilai serendah RM10 layak menyertai kuiz itu yang bermula hari ini sehingga 31 Disember depan.

Borang penyertaan boleh didapati di kaunter LZS atau di laman web www.e-zakat.com.my.

Tiada ulasan: