Isnin, 17 Ogos 2009

Kamarul Ramizu gagal serah borang pencalonan

BERNAMA


BUKIT MERTAJAM: Hasrat pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42, untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir pada 25 Ogos ini tidak tercapai apabila gagal menyerahkan kertas pencalonannya pada tempoh yang ditetapkan.

Sebaik melangkah masuk ke Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam, di Jalan Berapit di sini untuk menyerahkan kertas pencalonannya, beliau dimaklumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) Roslan Yahaya bahawa waktu sudah 10 pagi, iaitu tamat waktu pencalonan.

Ketika ditemui pemberita di sini, beliau berkata, kelewatannya itu berpunca daripada kesesakan lalulintas menuju ke pusat berkenaan dan beliau hanya tiba di luar kawasan itu hampir jam 10 pagi.

Katanya, beliau bertolak dari Kuala Lumpur kira-kira jam 12 malam tadi dan tiba di Pulau Pinang awal pagi ini.

"Saya mula bergerak ke pusat penamaan calon bersama-sama beberapa penyokong sekitar jam 6 pagi tetapi terperangkap dalam kesesakan dan terpaksa meletakkan kenderaan jauh dan berjalan kaki menuju ke pusat ini.

"Sebaik hendak menyerahkan borang itu, saya dimaklumkan waktu sudah tamat. Tak apalah. Saya tidak kecewa dengan hal ini dan mungkin ini juga rahmat Allah," katanya.

Menurut Kamrul Ramizu, jika dibenarkan bertanding mungkin beliau terpaksa berhadapan dengan kesukaran berkempen pada bulan Ramadan.

Apapun, beliau berharap kedua-dua calon Barisan Nasional (BN) Rohaizat Othman dan Mohd Salleh Man daripada Pas bertanding dengan cara berhemah dan menghormati bulan Ramadan semasa mereka berkempen.

Katanya, beliau tidak akan berputus asa dan sentiasa mengintai peluang untuk menyertai pilihan raya lain pada masa akan datang.

"Sekarang inipun, orang sudah mula mengenali saya," katanya.

Nama Kamarul Ramizu tidak asing lagi dalam siri pilihan raya kecil di negara ini kerana bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Penanti. -

Tiada ulasan: