Sabtu, 22 Ogos 2009

Gesa dua kementerian maklum punca kematian guru

SINAR HARIAN ONLINE


SUBANG JAYA – Kementerian Pelajaran dan Menteri di Kementerian Kesihatan digesa memaklumkan punca sebenar kematian seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 12, kelmarin sama ada disebabkan wabak selesema babi (H1N1) atau sebaliknya.

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, punca kematian mangsa menjadi spekulasi orang ramai sehingga menimbulkan kebimbangan ibu bapa dan pelajar.

Beliau yang menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) semalam dimaklumkan punca kematian guru berkenaan masih belum dapat dikenal pasti.

“Saya meminta penjelasan daripada kedua-dua kementerian berkenaan namun sehingga kini dimaklumkan punca kematian mangsa belum dapat ditentukan sama ada berpunca daripada wabak H1N1 atau ada faktor lain.

“Kedua-dua kementerian berkenaan seharusnya memberi maklumat terperinci kepada umum supaya tidak timbul sebarang spekulasi yang membimbangkan masyarakat dan warga sekolah khususnya,” katanya ketika turun padang di Pangsapuri PJS 7/15, di sini petang semalam.

Tiada ulasan: