Rabu, 12 Ogos 2009

Enam cap jari pada surat ugut bunuh

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim


KUALA LUMPUR: Polis menemui enam kesan cap jari pada surat ancaman bunuh kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, minggu lalu.

Ancaman itu untuk membalas dendam atas kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, yang dijumpai selepas disoal siasat SPRM, bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya menunggu laporan dan hasil analisis pakar cap jari di Bukit Aman untuk mengenal pasti pemilik cap jari itu.

Katanya, polis menghantar sampul surat itu ke Jabatan Kimia bagi membuat ujian DNA air liur.

“Kita masih menunggu laporan Jabatan Kimia hasil ujian DNA itu yang digunakan untuk melekatkan sampul surat oleh pengirimnya,” katanya di Rawang dekat sini, semalam.

Khalid berkata, sampul surat itu dimasukkan ke dalam peti pos awam sebelum dihantar ke pusat Pejabat Pos sebelum diedarkan kepada SPRM Selangor.

Berita Harian pada 5 Ogos lalu melaporkan Ahmad Said menerima ancaman itu melalui surat tulisan tangan yang ditujukan kepadanya dan dihantar ke pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam pada 24 Julai lalu.

Penulis surat menyalahkan Ahmad Said dan SPRM atas kematian Teoh serta mengugut untuk menembak mereka serta berulang kali memakinya dan menyatakan tidak berpuas hati kerana SPRM tidak bertindak terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) serta MCA dan hanya menyiasat pemimpin DAP.

Berikutan itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: