Khamis, 6 Ogos 2009

Ambil tindakan pada pemimpin DAP

MALAYSIA KINI


Ambil tindakan disiplin terhadap pemimpin Pakatan Rakyat yang mengeluarkan kenyataan sehingga menjejaskan imej baik gabungan pembangkang, kata seorang naib presiden PAS.

Datuk Mahfuz Omar berkata tindakan juga harus diambil terhadap ketua kerajaan negeri Pakatan, barisan exco atau pegawai masing-masing yang terlibat merosakkan imej gabungan itu, lapor Harakahdaily hari ini.

Ahli parlimen Pokok Sena dipetik berkata kenyataan negatif para pemimpin Pakatan boleh "memberi kesempatan kepada musuh untuk merosakkan hubungan baik yang sedia ada".

Beliau diminya mengulas kenyataan kontroversi ahli parlimen DAP Jelutong, Jeff Ooi dan exco kerajaan tempatan Selangor, Ronnie Liu.

"Pengajaran di sini ialah, pemimpin Pakatan Rakyat tidak boleh melihat kepentingan sebelah pihak sahaja dengan mengabaikan yang lain kerana kita hidup berbilang bangsa dan undi kita juga datangnya daripada orang Islam dan bukan Islam.

"Justeru, sebarang ketidakpuasan hati, berbincang dengan baik dan bukannya bercakap di luar, sehingga memberi gambaran yang buruk dan salah kepada Pakatan Rakyat," Mahfuz dipetik berkata.

Beliau turut merujuk insiden perobohan pusat penyembelihan babi di Alor Star awal bulan lalu yang akhirnya dapat diselesaikan dengan baik di meja rundingan.

"Jangan emosi dan terburu-buru dalam bertindak hingga mencetuskan rasa kurang senang pihak lain. Berhati-hati keluar kenyataan.

"Ada saluran perbincangan baik di dalam parti mahupun kerajaan negeri," katanya lagi.

Mahfuz turut dipetik berkata, merujuk kenyataan Ooi dan Liu, terpulang kepada DAP untuk mengambil tindakan sewajarnya sama ada melalui jawatankuasa disiplin atau kaedah lain.

Beliau tidak menolak kemungkinan isu itu akan dibangkitkan dan dibincangkan dalam pertemuan Majlis Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: