Khamis, 23 Julai 2009

UiTM keempat ditutup kawal H1N1

MALAYSIA KINI


Sebuah lagi kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditutup hari ini bagi mengekang penularan wabak selesema A (H1N1) selepas tiga kampus berbuat demikian sejak minggu lalu.

Sebuah sekolah menengah berasrama di Lahad Datu, Sabah turut ditutup berhubung wabak berkenaan.

UiTM Dungun ditutup selama 10 hari berkuatkuasa hari ini berikutan kebimbangan penularan wabak di kampus terbabit, demikian diumumkan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajarnya Prof Madya Abdul Rahim Ramli.

Tambahnya, penutupan kampus tersebut adalah disebabkan peningkatan kes-kes selesema di kalangan pelajar UiTM sejak akhir-akhir ini serta bagi mengawal penularan virus berkenaan, lapor Bernama.

"Arahan penutupan kampus UiTM Dungun berkuatkuasa serta-merta sehingga 1 Ogos itu dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Terengganu setelah mengadakan pemeriksaan di kampus semalam.

"Sehubungan itu, pihak UiTM Dungun telah mengarahkan semua pelajar kolej, pengajar dan kakitangan supaya beredar dan tidak berada di kawasan kampus untuk tempoh tersebut, " beliau dipetik berkata hari ini.

Abdul Rahim berkata, bagi pelajar-pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak, mereka diberi dua pilihan iaitu sama ada mengikut rakan-rakan pulang ke rumah keluarga atau dikuarantin di kawasan kampus.

"Setakat ini, kita masih belum mengadakan sebarang tindakan kuarantin. Bagaimanapun jika ada pelajar dari Sabah dan Sarawak yang mahu tinggal di kawasan kampus, kita akan kuarantin mereka untuk mengelakkan penularan wabak," katanya.

Beliau berkata sebanyak 10 sampel darah pelajar yang mempunyai tanda-tanda influenza juga telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk ujian lanjut.

Menurut agensi berita itu lagi, pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar berkata 87 pelajar UiTM Dungun menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Dungun semalam kerana mempunyai mengalami simptom seperti demam dan selsema.

"Dua daripada mereka telah dimasukkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut kerana mengidap asma dan hari ini sebanyak 23 kes seperti influenza telah dikesan di kalangan pelajar menyebabkan arahan tutup serta-merta telah dikeluarkan," katanya kepada Bernama.

Semalam, UiTM Permatang Pauh di Pulau Pinang dan UiTM Seri Iskandar dekat Ipoh ditutup semalam selama seminggu. Sementara UiTM Lendu di Melaka ditutup sejak 16 Julai sehingga esok.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi berita itu turut melaporkan SM Sains Lahad Datu, sebuah sekolah berasrama penuh, diarah ditutup seminggu susulan wabak itu.

Tinjauan Bernama mendapati pintu pagar sekolah berkenaan ditutup, manakala anggota polis dan kakitangan Jabatan Kesihatan kelihatan di pintu masuk sekolah itu memakai topeng muka.

Jurucakap Pejabat Kesihatan Lahad Datu mengesahkan pengesanan kes berkenaan, namun enggan memberi butiran lanjut kerana hanya pengarah kesihatan negeri sahaja boleh berbuat demikian.

Tiada ulasan: